Pekerja kilang maut, terperangkap kereta terbakar

Shuhada Abdul Kadir
Februari 21, 2020 05:55 MYT
Menurut Hasan, mangsa berjaya dibawa keluar dengan bantuan anggota bomba sejurus kerja pemadaman api selesai. - Foto Astro AWANI
Seorang pekerja kilang maut selepas kenderaan dipandunya terbabas sebelum terbakar dalam kemalangan di Kilometer 2, Jalan Nyalas - Rim, di sini, pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Hasan Basri berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, mangsa S. Suriya, 25 tahun, maut di lokasi kejadian akibat melecur hampir keseluruhan badan.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku selepas Proton Wira dipandu mangsa yang dalam perjalanan dari Nyalas menghala ke Jasin hilang kawalan sehingga terbabas ke kiri jalan dan terbakar.
“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat terperangkap di dalam kenderaannya dan hampir keseluruhan badan mangsa terbakar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Hasan, mangsa berjaya dibawa keluar dengan bantuan anggota bomba sejurus kerja pemadaman api selesai.
“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Jasin bagi proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1)(A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” tambahnya.
#Jasin #kemalangan #kenderaan terbabas #maut #nyalas #pekerja kilang maut #proton wira #S Suriya #siasatan