Sebuah kereta pengurus kilang diterbalik dan dibakar dalam satu kejadian mogok oleh kira-kira 800 pekerja asing kilang membuat komponen pemacu cakera keras Taman Perindustrian Kelapa Sawit, di sini hari ini.

Kejadian tersebut yang dikatakan bermula pada 9 pagi turut menyebabkan bahagian depan pejabat pengurusan kilang itu rosak akibat dibaling dengan objek keras.

Mogok itu didakwa dilancarkan berikutan rasa tidak puashati pekerja terhadap majikan yang didakwa mengabaikan kebajikan mereka.

Seorang pekerja warga Nepal, Kishor Rai, 23, yang sudah bekerja selama lima tahun berkata, mogok berkenaan berlaku kerana pekerja warga asing itu sudah tidak dapat bertahan dengan penindasan terhadap mereka.

“Mereka (pihak pengurusan) sering memukul kami walaupun hanya melakukan kesalahan kecil tanpa memberi teguran atau berbincang terlebih dahulu," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.



Sebuah kereta terbalik dan terbakar apabila kira-kira 800 pekerja warga asing kilang pembuatan komponen pemacu cakera keras melakukan rusuhan dan mogok kerana tidak puas hati terhadap majikan mereka. - Foto BERNAMA

Selain itu, kata beliau, gaji bulanan mereka sering dipotong dan elaun kerja lebih masa tidak dibayar mengikut jumlah sepatutnya.

Gaji turut dipotong untuk kemudahan hostel pekerja sedangkan sebelum ini ianya dijanjikan secara percuma untuk pekerja.

Kishor berkata, pelbagai aduan telah dikemukakan namun penindasan masih berterusan dan mereka berharap majikan bersikap lebih prihatin terhadap mereka selepas kejadian itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Deputi Supt Mohad Idris Samsuri mengesahkan kejadian dan tiada kecederaan dilaporkan berlaku.

"Belum ada sebarang tangkapan dibuat dan siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh," katanya dan menambah pihak pengurusan kilang akan mengadakan perbincangan bersama wakil pekerja dan kedutaan dari negara Nepal.

Beliau menambah, seramai 75 anggota Polis Simpanan Persekutuan (FRU) dan 50 anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulaijaya dikerah ke lokasi kejadian bagi mengawal keadaan.