Pekerja kilang warga Myanmar maut dihempap kren

Bernama
Disember 19, 2020 22:04 MYT
Menurut bomba, sebelum kejadian, warga Myanmar itu sedang melakukan kerja di bahagian bawah jentera kren tersebut. - Gambar hiasan
BUTTERWORTH: Seorang pekerja kilang warga Myanmar maut selepas jentera kren terbalik sebelum menghempapnya dalam kejadian di sebuah kilang besi di kawasan Perai, di sini semalam.
Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Syamzul Razman Abd Halim berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 8.23 malam.
"Berdasarkan maklumat, kren tersebut yang sedang dikendalikan pekerja lain bagi kerja memindahkan besi-besi yang telah siap di kilang berkenaan rosak sebelum terbalik dan menghempap mangsa.
"Kami dimaklumkan mangsa sedang melakukan kerja di bahagian bawah jentera kren itu sebelum kejadian tersebut dan pihak bomba terpaksa menggunakan kren lain untuk mengeluarkan mangsa kira-kira 45 minit kemudian," katanya ketika dihubungi Bernama malam tadi.
Beliau berkata mangsa yang berusia 30-an, disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dan mayatnya dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Shafee Abd Samad ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan siasatan masih dijalankan.
-- BERNAMA
#JBPM Pulau Pinang #pekerja kilang #warga myanmar #maut #Kilang Besi #hempap #jentera #kren #Syamzul Razman Abd Halim #Shafee Abd Samad #hempap pekerja kilang #Perai #kren rosak #bomba