Pekerja ladang lemas tergelincir dalam sungai ketika kait sawit

Sinar Harian
November 8, 2021 21:00 MYT
Mangsa ditemukan di dasar sungai lebih kurang tiga meter dari lokasi kejadian di Kampung Matang Tengah, Changkat Lobak, Bagan Serai pada Isnin. -Foto Sinar Harian
BAGAN SERAI: Seorang pekerja ladang ditemui lemas selepas tergelincir dalam sungai ketika menjalankan kerja-kerja mengait sawit di sebuah ladang di Kampung Matang Tengah, Changkat Lobak di sini pada Isnin.
Dalam kejadian 11.10 pagi itu, mangsa, Subur Supriyanto, 30, warga Indonesia ditemukan di dasar sungai lebih kurang tiga meter dari lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, rakan sekerja mangsa memaklumkan paras air sungai ketika itu tinggi dan mangsa yang tergelincir telah lemas dan tenggelam dalam sungai terbabit.
"Rakan mangsa telah menghubungi MERS 999 untuk mendapatkan bantuan. Operasi mencari dan menyelamat kemudiannya dijalankan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai.
"Usaha pencarian yang mengambil masa lebih kurang satu jam itu telah menjumpai mayat mangsa di dasar sungai," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Beliau berkata, mangsa telah berkahwin dan bekerja sebagai buruh di ladang berkenaan.
"Kes buat masa ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.
*Berita asal di Sinar Harian
#Subur Supriyanto #Kampung Matang Tengah #pekerja ladang #lemas selepas tergelincir