Pekerja Malaysia di Singapura layak mencarum jika turut bekerja sendiri di tanah air - PERKESO

Tong menggalakkan suri rumah mencarum di bawah skim LINDUNG KASIH yang memberi perlindungan bencana domestik kepada suri rumah yang mengalami kemalangan semasa melakukan urusan di rumah. --fotoBERNAMA
ISKANDAR PUTERI: Rakyat negara ini yang bekerja di Singapura tetapi pada masa sama turut menjalankan pekerjaan sendiri di Malaysia seperti pemandu e-hailing dan penghantar makanan masih boleh mencarum di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Pengarah PERKESO Johor Tong Sing Chuang berkata caruman menerusi Skim Perlindungan Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (LINDUNG Kendiri) dapat memastikan mereka menerima perlindungan yang sewajarnya.
"Kalau mereka yang bekerja di Singapura, tetapi dalam masa sama bekerja sendiri di sini, mereka masih boleh mencarum dan ambil LINDUNG Kendiri. Ini tiada masalah untuk mereka mohon," katanya kepada Bernama.
Tong berkata setakat ini tiada skim perlindungan khusus buat rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, dengan perlindungan akan diberikan sekiranya sesebuah syarikat beroperasi dan mendaftar di negara ini menerusi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan semasa berkaitan skim perlindungan melibatkan pekerja Malaysia di republik berkenaan.
Pada tahun lepas, Menteri Sumber Manusia Steven Sim dipetik berkata kementeriannya melalui PERKESO akan menjalankan kajian mengenai skim insurans keselamatan sosial bagi rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura khususnya mereka yang berulang-alik setiap hari ke republik itu.
Dianggarkan lebih 1.18 juta rakyat Malaysia bekerja di Singapura, dengan antara 300,000 hingga 400,000 orang berulang-alik setiap hari menyeberang tambak.
Dalam pada itu, Tong menggalakkan suri rumah mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (LINDUNG KASIH) yang memberi perlindungan bencana domestik kepada suri rumah yang mengalami kemalangan atau apa-apa insiden semasa melakukan urusan di rumah.
Beliau berkata perlindungan akan turut diberikan kepada mereka sekiranya mengalami sakit atau keuzuran.
"Perlindungan ini termasuklah (dalam situasi) kalau tangan terkena pisau semasa potong sayur atau terjatuh di bilik air, kita akan lindung," katanya.
Tong berkata golongan suri rumah yang belum mencapai usia 55 tahun atau belum mencapai umur 54 tahun pada tarikh pertama kali hendak mencarum diseru agar mengambil perlindungan itu dengan bayaran hanya perlu dibuat sekali setahun.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


