Ringkasan AI
- Pakar ekonomi menegaskan pertumbuhan ekonomi Malaysia perlu diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan pekerja secara lebih saksama melalui pembaharuan gaji Belanjawan 2027.
- Statistik menunjukkan bahagian pampasan pekerja kepada KDNK Malaysia masih rendah, iaitu 33.9 peratus pada 2025, berbanding negara maju seperti Korea Selatan dan Taiwan.
- Kerajaan menaikkan gaji minimum kepada RM2,000 mulai Jun 2027 dan memperkenalkan pelbagai inisiatif gaji untuk manfaat pekerja serta penambahbaikan daya saing.
KUALA LUMPUR: Malaysia perlu memastikan pertumbuhan ekonomi negara diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan pekerja secara lebih saksama, khususnya ketika kerajaan memperkenalkan pelbagai langkah pembaharuan gaji menerusi Belanjawan 2027.
Profesor Ekonomi Universiti Malaya (UM), Prof. Ulung Datuk Dr. Rajah Rasiah berkata, bahagian pendapatan negara yang dinikmati pekerja masih rendah berbanding beberapa negara ekonomi maju, sekali gus mencerminkan ketidakseimbangan agihan pendapatan antara pemilik modal dengan tenaga kerja.
Beliau membangkitkan perbandingan dengan Korea Selatan dan Taiwan yang menurutnya mencatatkan bahagian pampasan pekerja (CE) sekitar 50 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), manakala Malaysia masih jauh di belakang.
“CE Malaysia tahun lalu cuma sampai 34 peratus saja,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Isnin.
Menurut beliau, keadaan itu menggambarkan keperluan untuk memastikan pulangan daripada aktiviti ekonomi tidak hanya tertumpu kepada pemilik modal, sebaliknya turut dinikmati pekerja melalui peningkatan gaji yang mencerminkan kemahiran dan produktiviti mereka.
Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan bahagian CE kepada KDNK berada pada 33.9 peratus pada 2025, meningkat sedikit berbanding 33.6 peratus pada 2024. Nilai keseluruhan CE meningkat 5.8 peratus kepada RM686.9 bilion, manakala lebihan kendalian kasar (gross operating surplus) menyumbang 62.0 peratus kepada KDNK.
Perkembangan itu menunjukkan meskipun nilai pampasan pekerja terus meningkat, bahagian yang diterima tenaga kerja dalam keseluruhan pendapatan ekonomi negara masih jauh lebih kecil berbanding komponen lebihan kendalian kasar, yang turut merangkumi pulangan kepada modal dan pendapatan campuran tertentu.
Isu berkenaan turut menjadi perhatian kerajaan menerusi Belanjawan 2027 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu, apabila kadar gaji minimum akan dinaikkan daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan, berkuat kuasa Jun 2027.
Langkah itu dijangka memberikan manfaat kepada lebih empat juta pekerja, namun perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan hasil jualan tahunan di bawah RM50 juta diberikan pengecualian bagi membolehkan penyesuaian model perniagaan.
Kerajaan turut mengumumkan pembaharuan kerangka pendapatan pekerja melalui pengenalan gaji minimum RM2,500 sebulan bagi pekerjaan separa mahir dan graduan, selain peningkatan penanda aras gaji sara hidup daripada RM3,100 kepada RM3,400 sebulan oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), yang dijangka memanfaatkan 230,000 pekerja.
Mengulas cabaran meningkatkan pendapatan pekerja, Rajah turut menekankan bahawa bantuan kepada PMKS perlu disertakan dengan penilaian terhadap kemampuan firma meningkatkan produktiviti, daya saing serta pembayaran gaji yang setimpal.
“Jadi peringkat awal bolehlah Malaysia mempertimbangkan memberi (bantuan) untuk industri kecil dan sederhana, tetapi bukan selama-lamanya, bukan sewenang-wenangnya, mungkin selama dua atau tiga tahun,” katanya.
Pada masa sama, beliau menegaskan pembangunan kemahiran menerusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu menghasilkan peningkatan daya saing pekerja supaya latihan yang diterima dapat diterjemahkan kepada pendapatan lebih tinggi.
Pandangan itu selari dengan penekanan Belanjawan 2027 terhadap usaha merapatkan jurang antara produktiviti dengan gaji pekerja, sekali gus memastikan pertumbuhan ekonomi negara dapat meningkatkan taraf hidup rakyat secara lebih menyeluruh.
Agenda AWANI: Belanjawan 2027 | Cabaran mengimbangi pertumbuhan mampan