Pekerja pembersihan parah dirempuh kereta

Astro Awani
November 15, 2019 07:03 MYT
Mangsa dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dan dilaporkan masih berada dalam keadaan kritikal ditempatkan di Zon Merah untuk rawatan lanjut. - Foto PDRM
Seorang pekerja syarikat pembersihan Hayara Sdn Bhd cedera parah dirempuh sebuah kereta dalam kejadian kemalangan di Jalan Anson, di sini pagi tadi.
Menurut jurucakap polis, dalam kejadian jam 6.40 pagi itu, lelaki yang juga pemandu lori sampah itu dipercayai berada di belakang lori kerjanya.
Mangsa parah di kaki selepas tersepit di antara kenderaan itu dengan kereta jenis Perodua Axia.
Difahamkan ketika kejadian, mangsa sedang memungut sampah di hadapan Bangunan Persekutuan di Jalan Anson sebelum sebuah kereta merempuhnya.
Mangsa dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dan dilaporkan masih berada dalam keadaan kritikal dan ditempatkan di Zon Merah untuk rawatan lanjut.
Pemandu kereta jenis Axia itu melarikan diri dan pihak polis kini sedang mengesan pemandu bagi membantu siasatan.
#cedera #Hospital #kaki tersepit #kemalangan #kereta #lelaki #mangsa #PDRM #pekerja pembersihan #Perodua #polis #siasatan