[TERKINI] Perang Israel-Iran Bakal Tamat? | Trump Umum Gencatan Senjata Penuh. Klik di sini untuk laporan penuh dan reaksi global.
NATIONAL

Pekerja, pemimpin perniagaan Malaysia sokong AI untuk dorong produktiviti - Microsoft

Bernama 08/05/2025 | 21:15 MYT
Menurut Microsoft, pemimpin dan pekerja di Malaysia kini semakin biasa dengan penggunaan ejen AI. - Foto hiasan/REUTERS
KUALA LUMPUR: Pekerja dan pemimpin perniagaan di Malaysia semakin menggunakan alatan dikuasakan kecerdasan buatan (AI) yang turut dikenali sebagai ejen pintar untuk meningkatkan produktiviti dan menguruskan bebanan kerja yang semakin meningkat, menurut Indeks Trend Pekerjaan 2025 Microsoft.
Menurut Microsoft, wujud jurang kapasiti yang semakin luas, menyaksikan 61 peratus pemimpin perniagaan di negara ini mengakui keperluan untuk meningkatkan produktiviti manakala 83 peratus daripada tenaga kerja di negara ini -- termasuk pekerja dan pemimpin -- melaporkan mereka kekurangan masa atau tenaga untuk menyelesaikan tugasan.
"Ini disokong oleh data telemetri Microsoft 365 yang menunjukkan secara purata, pekerja terganggu setiap dua minit dengan mesyuarat, e-mel atau ping (bunyi)," katanya dalam kenyataan hari ini.
Data telemetri Microsoft 365 mengukur bagaimana pengguna berinteraksi dengan alat produktiviti seperti Word, Excel, PowerPoint, Outlook dan Teams serta memberikan pandangan mengenai ciri paling kerap digunakan dan tempoh pengguna memperuntukkan masa dalam tugasan tertentu.
Microsoft menekankan bahawa dengan peningkatan ejen yang mampu membuat pertimbangan, merancang dan berfungsi sebagai tenaga kerja digital, peranan dan organisasi dijangka berkembang mengikut skala kapasiti yang diperlukan.
"Sehingga kini, 89 peratus daripada pemimpin di Malaysia berkata ini adalah tahun penting untuk memikirkan semula strategi dan operasi teras, dan 86 peratus pula yakin mereka akan menggunakan ejen sebagai ahli pasukan digital untuk meluaskan kapasiti tenaga kerja dalam tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang, melebihi purata global," kata syarikat berkenaan.
AI Ubah Landskap Pekerjaan Malaysia
Pengarah Urusan Microsoft Malaysia, Laurence Si berkata, Malaysia sedang berusaha untuk menjadi pemimpin serantau dalam transformasi AI, dengan dapatan terkini Indeks Trend Pekerjaan yang menekankan mengenai perkembangan ini.
"Dengan sebanyak 86 peratus pemimpin perniagaan yakin menggunakan ejen AI bagi memperluas kapasiti tenaga kerja dan lebih separuh telah mengautomasikan keseluruhan aliran kerja, Malaysia membuktikan bagaimana organisasi dapat mengubah hasrat menjadi tindakan dan meningkatkan impak melalui ejen pintar," katanya.
Microsoft turut menekankan peralihan daripada struktur organisasi yang statik kepada "carta kerja" yang lebih fleksibel, dengan pasukan dibentuk berdasarkan hasil tertentu berbanding fungsi bersifat tradisi seperti pemasaran atau kewangan.
Menurutnya, apabila ejen berperanan sebagai pembantu penyelidik, penganalisis atau rakan kongsi kreatif, syarikat boleh memanfaatkan pasukan yang kecil tetapi mempunyai impak yang tinggi berdasarkan permintaan.
Laporan ini turut memaklumkan lebih separuh daripada pemimpin perniagaan Malaysia (51 peratus) telah menggunakan ejen untuk mengautomasikan sepenuhnya aliran kerja atau proses perniagaan, melebihi purata global sebanyak 46 peratus.
"Bagi memaksimumkan impak, organisasi perlu mencapai keseimbangan yang wajar antara tenaga manusia dan digital dalam tugasan tertentu, dengan pekerja di Malaysia dilaporkan bergantung kepada AI bagi keupayaan yang tidak dapat disediakan manusia seperti ketersediaan 24/7 (44 peratus), kepantasan dan kualiti didorong oleh mesin (35 peratus), dan idea tidak terbatas mengikut permintaan (31 peratus)," menurut laporan berkenaan.
Kebangkitan Syarikat Barisan Hadapan
Microsoft turut menyorot kebangkitan syarikat barisan hadapan, organisasi yang didayakan oleh pasukan hibrid, gabungan manusia dan ejen AI, yang menunjukkan bagaimana perniagaan boleh berkembang dengan lebih pantas, bergerak dengan lebih tangkas dan mencipta nilai dengan cara baharu.
"Pekerja dan pemimpin di firma barisan hadapan ini lebih daripada dua kali ganda memaklumkan syarikat mereka sedang berkembang maju, mampu menangani beban kerja tambahan dan memperoleh peluang melakukan tugasan penting," kata Microsoft.
Di Malaysia, kalangan pekerja firma barisan hadapan melaporkan mereka mendapat peluang kerja penting yang lebih tinggi (92 peratus) dan berupaya melakukan lebih banyak kerja (58 peratus), jauh melebihi purata Asia Pasifik, masing-masing sebanyak 77 peratus dan 21 peratus.
Menyesuaikan Masa Depan Dipacu AI
Microsoft berkata, dalam tempoh dua hingga lima tahun akan datang, setiap organisasi dijangka memulakan perjalanan untuk beralih menjadi syarikat barisan hadapan.
"Sebanyak 44 peratus pemimpin Malaysia berkata yang menjadi keutamaan adalah dengan meningkatkan kapasiti pekerja dalam bidang digital bagi tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang, selepas menambah kemahiran (48 peratus).
"Selain penggunaan ejen AI, 84 peratus pemimpin syarikat Malaysia turut mempertimbangkan untuk mewujudkan jawatan berkaitan AI yang baharu bagi persediaan masa hadapan seperti pakar ejen AI, pelatih AI, dan pengurus tenaga kerja AI," katanya.
Memupuk Kefahaman Terhadap Ejen AI
Menurut Microsoft, pemimpin dan pekerja di Malaysia kini semakin biasa dengan penggunaan ejen AI.
"Bagaimanapun, berbeza dengan dapatan tahun lepas yang menunjukkan pekerja mendahului dalam penggunaan AI, pada tahun ini pula menyaksikan 68 peratus pemimpin perniagaan Malaysia dilaporkan semakin biasa dengan ejen AI berbanding 39 peratus pekerja," katanya.
"Bagi merapatkan jurang ini, sebanyak 59 peratus pengurus syarikat di Malaysia menjangkakan latihan AI akan menjadi tanggungjawab utama pasukan mereka dalam tempoh lima tahun akan datang, dengan pemimpin menjangkakan pasukan mereka akan berkembang dalam bidang seperti membentuk semula proses perniagaan dengan AI (40 peratus), membina sistem pelbagai ejen (46 peratus) serta melatih dan menguruskan ejen (masing-masing 48 peratus dan 44 peratus)," kata Microsoft.
Penggunaan AI Sebagai Kelebihan Daya Saing
Kesimpulannya, Microsoft menyifatkan penggunaan awal ejen AI di Malaysia berpotensi memberikan kelebihan daya saing yang ketara dalam tempoh sedekad akan datang.
"Daripada barisan lembaga pengarah hingga ke barisan hadapan, kejayaan masa hadapan akan bergantung kepada keupayaan untuk mengurus dan pengagihan tugas secara lebih berkesan kepada pasukan ejen AI khusus," kata Microsoft.
-- BERNAMA
#teknologi AI #kecerdasan buatan #pemimpin perniagaan #Microsoft