Pekerja rencam berdepan hukuman gantung, didakwa edar syabu RM19 juta

Adie Sufian Zulkefli
Januari 23, 2024 04:40 MYT
Mohd Fazli didakwa mengedar syabu seberat 528,000 gram di kawasan semak Hutan Simpan FRIM, Hutan Simpan Mata Ayer Perlis Utara, Padang Besar jam 4 pagi pada 10 Januari lalu. - Gambar/ Astro AWANI
KANGAR: Seorang pekerja rencam berdepan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup selepas dihadap ke Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan mengedar dadah jenis syabu di Padang Besar 10 Januari lalu.
Tertuduh, Mohd Fazli Aziz, 36, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurshahida Abdul Rahim.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohd Fazli didakwa mengedar dadah berbahaya jenis syabu seberat 528,000 gram di kawasan semak Hutan Simpan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Hutan Simpan Mata Ayer Perlis Utara, Padang Besar jam 4 pagi pada 10 Januari lalu.
Oleh itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2)?Akta yang sama.
Pendakwaan dilaksanakan oleh Timbalan Pendakwa Raya negeri, Tengku Ruqayyah Tengku Shahrom manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Bagaimanapun tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh memandangkan kes berkenaan tidak boleh diberi jaminan.
Mahkamah menetapkan 22 Mac hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menantikan laporan kimia.
Pada 15 Januari lalu, polis melumpuhkan sindiket pengedaran dadah terbesar di Perlis yang menggunakan kawasan Hutan Simpan Persekutuan FRIM di Padang Besar sebagai lokasi transit selepas merampas 528 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM19 juta.
Dalam kejadian itu juga, empat lelaki berusia antara 21 hingga 42 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Kamarudin Md Din, berkata kegiatan sindiket itu terbongkar selepas anggota polis daripada JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis menahan seorang lelaki berusia 35 tahun di sebuah rumah di sekitar Padang Besar.
Suspek kemudian membawa polis ke satu tempat penyimpanan dadah di kawasan Hutan Simpan Persekutuan FRIM di Jalan Tasoh-Kaki Bukit-Padang Besar.
#kes dadah #Perlis #padang besar #FRIM