NATIONAL

Pekerja subkontraktor maut kenderaan dirempuh bas merah jambu

Sinar Harian 27/05/2025 | 03:30 MYT
Pasukan bomba sedang melakukan kerja-kerja menyelamatkan mangsa kemalangan. Gambar kecil: Muhammad Aiman
MELAKA: Seorang pekerja subkontrakor maut tercampak keluar selepas kenderaan dinaiki dirempuh bas henti-henti, BAS.MY di Lebuh Alor Gajah - Melaka Tengah - Jasin (AMJ) berhampiran Taman Awan Biru, di sini, pada petang Isnin.


Ringkasan AI
  • Seorang pekerja subkontraktor, Muhammad Aiman Mohd Farid, 23, maut selepas kenderaan yang dipandunya dirempuh bas henti-henti BAS.MY di Lebuh AMJ, Alor Gajah, menyebabkan mangsa tercampak keluar dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
  • Kejadian berlaku apabila bas memasuki bahu jalan dan merempuh kenderaan mangsa yang berhenti di situ; rakannya, Muhammad Hakimi Hafiz Baharin, 22, cedera dan dihantar ke hospital.
  • Polis menahan pemandu bas berusia 37 tahun untuk siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987; hasil ujian air kencing adalah negatif dadah dan permohonan reman dibuat pada Selasa.


Kejadian kira-kira jam 4.55 menyebabkan mangsa, Muhammad Aiman Mohd Farid, 23, yang memandu kenderaan jenis Mitsubishi meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah, manakala rakannya, Muhammad Hakimi Hafiz Baharin, 22, mengalami luka-luka di badan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, siasatan mendapati setiba di lokasi kejadian mangsa yang dalam perjalanan dari arah Rembia ke AMJ telah memberhentikan kenderaan di bahu jalan.

Bagaimanapun, katanya, sebuah bas henti-henti berwarna merah jambu yang dalam perjalanan dari Terminal Melaka Sentral ke Jalan AMJ telah memasuki bahu jalan lalu merempuh kenderaan mangsa.

Katanya, akibat rempuhan itu mangsa telah tercampak keluar dari kenderaan dan disahkan meninggal dunia manakala rakannya yang cedera telah dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.

"Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Alor Gajah dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Terdapat rakaman papan pemuka bas dan akan digunakan bagi membantu siasatan selain pihaknya juga telah menahan pemandu bas berusia 37 tahun," katanya dalam datu kenyataan di sini pada Selasa.

Ujarnya, hasil saringan ujian air kencing mendapati pemandu terbabit bebas negatif dadah namun pihaknya akan membuat permohonan reman lelaki tersebut pada Selasa.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan jeritan sayu seorang lelaki yang cuba menyedarkan seorang mangsa kemalangan itu yang tercampak ke dalam longkang mengundang pilu orang awam yang berada di lokasi kejadian.

Lelaki terbabit, dalam keadaan duduk di tepi longkang, menjerit kepada mangsa: "Bang, sebut bang...ALLAH...abang kuat bang, Lailahaillallah.

Media pada 25 Mei tahun lalu, pernah melaporkan seorang remaja, Muhammad Harith Muhamad Zaki, 18, maut digilis selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan bas henti-henti di Jalan Pantai Kundor.

Media turut melaporkan seorang pemuda, Muhammad Aizad Khairil Anwar, 20, maut selepas motosikal yang dia tunggang merempuh bahagian belakang pengangkutan awam itu di Jalan Satu Krubong, pada 6 Jun 2024.

Malah media juga pernah melaporkan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer akan memberhentikan pemandu Program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-Henti (SBST), BAS.MY yang dikesan bermasalah termasuk cara pemanduan berbahaya. -Sinar Harian









#pekerja subkontraktor #Muhammad Aiman Mohd Farid #bas henti-henti #BAS MY #Lebuh AMJ Alor Gajah