Pekerja swasta rugi RM13,300 ditipu mahu dapatkan khidmat seks online

Dewi Nur Harasha Alias
September 2, 2021 15:57 MYT
Pekerja swasta tersebut dipercayai terpedaya selepas berkenalan dengan seorang wanita melalui aplikasi media sosial. - Gambar hiasan
KEPALA BATAS: Padah cuba melanggan perkhidmatan seks secara dalam talian, seorang lelaki berusia 30-an ditipu RM13,300 di sini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, pekerja swasta tersebut dipercayai terpedaya selepas berkenalan dengan seorang wanita melalui aplikasi media sosial.
"Mangsa yang ingin mendapatkan perkhidmatan seks daripada wanita itu kemudian telah dihubungi oleh individu lain yang mendakwa ejen wanita itu.
"Dia diminta membuat pembayaran melalui tambah nilai kredit maya (permainan video dalam talian) Razer Gold di kedai serbaneka dan dijanjikan mendapat khidmat seks di sebuah kondominium di Raja Uda.
"Mangsa turut membuat pembelian Razer Gold secara berperingkat sehingga mencecah RM13,300 dan menyerahkan nombor pin tambah nilai kepada suspek.
"Bagaimanapun mangsa menyedari ditipu apabila suspek gagal dihubungi selepas dia membuat pembayaran tersebut" katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Noorzainy berkata, mangsa membuat laporan polis pada Rabu dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
#sindiket pelacuran #seks dalam talian #penipuan #Noorzainy Mohd Noor