KUALA LUMPUR: Seorang pekerja warung mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan wang palsu awal bulan ini.

Sekh Ali Subuhal, 54, didakwa menggunakan mata wang palsu sebagai tulen iaitu 100 keping mata wang AS$100 dengan pelbagai nombor siri di sebuah pusat tukaran mata wang asing di Jalan Raja Chulan di sini pada 4.30 petang, 7 Jun lepas.

Pertuduhan ke atas Sekh Ali dilakukan mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Mohd Jufri tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin namun peguam Keshreena Sidhu yang mewakili Sekh Ali memohon budi bicara mahkamah untuk membenarkan anak guamnya diikat jamin.

Keshreena berkata tertuduh hanya berpendapatan RM1,000 sebulan dan menanggung isteri serta tujuh anak selain menghidap kencing manis dan darah tinggi.

Nurliyana kemudian mencadangkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berdekatan sehingga kes selesai.

Hakim Ahmad Kamar Jamaludin membenarkan Sekh Ali diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Julai untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA