Seorang remaja berusia 13 tahun ditemui tidak sedarkan diri selepas dipercayai bertindak menggantung dirinya di dalam bilik air rumahnya, pada malam Sabtu.

Kejadian berlaku kira-kira jam 10.55 malam di flat Jalan Paya Terubong, Taman Sri Relau, di sini.

Mangsa bagaimanapun meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, sebelum kejadian, pelajar Tingkatan Satu itu dikatakan masuk ke dalam bilik air rumahnya untuk mandi.

Namun, remaja itu tidak keluar dari bilik air selepas kira-kira 30 minit kemudian menyebabkan bapanya mula curiga sebelum cuba membuka pintu bilik air.

Che Zaimani berkata, remaja itu ditemui dalam keadaan tergantung dengan kain tuala sebelum diturunkan bapanya.

Selepas diturunkan, lelaki berusia 49 tahun itu cuba memberi bantuan pernafasan kepada anaknya, dan mangsa dikatakan muntah.

Remaja itu kemudiannya dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang dengan menaiki ambulans sebelum dia disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

Hasil siasatan, Che Zaimani berkata, remaja terbabit dikatakan kurang berminat untuk belajar selain prestasi pelajarannya yang agak lemah.

Soal siasat bersama ibu bapa mangsa juga mendapati, mangsa sering merungut kerana kerja sekolah yang terlalu banyak.

Ibu mangsa berusia 51 tahun berkata, pada sambutan Hari Ibu Mei lalu, mangsa  ada menulis sepucuk surat kepadanya yang menyatakan rasa sayang dan terima kasih anaknya kepadanya. - Foto Astro AWANI

Ibu mangsa berusia 51 tahun berkata, pada sambutan Hari Ibu Mei lalu, anaknya itu sempat menulis sepucuk surat yang meluahkan rasa sayang dan terima kasih kepadanya.

Che Zaimani berkata, pemeriksaan pada tubuh badan mangsa tidak menemui sebarang kesan pergelutan atau kecederaan.

Manakala di kawasan sekitar lokasi kejadian juga tidak menemui sebarang senjata.

Laporan bedah siasat menunjukkan mangsa mati akibat menggantung diri dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Mereka yang berhadapan masalah kemurungan dan memerlukan seseorang untuk mendengar boleh menghubungi talian bantuan Befrienders di Kuala Lumpur dan Selangor pada talian 03-79568145 atau e-melkan kepada [email protected].