Wujud kebimbangan pelajar yang dibuang sekolah akan terus hanyut memandangkan 50 peratus daripada pelajar yang buang sekolah tidak membuat rayuan.

Lebih teruk, mereka dibimbangi akan memberi reaksi anti-sosial sebagai kesan daripada rasa tidak puas hati mereka atas apa yang mereka sifatkan sebagai ketidakadilan.

Pelajar yang dibuang sekolah juga berhadapan masa depan yang malap.

Kajian Laporan Gantung dan Buang Sekolah oleh Akademi Pediatrik Amerika pada 2013 menyatakan pelajar yang dibuang sekolah adalah 10 kali ganda lebih cenderung untuk terus berhenti belajar.

Ini akan mengundang masalah yang lebih besar kepada pelajar itu sendiri dan komuniti.

Laporan itu juga menyatakan pelajar yang dibuang sekolah mendapat kurang peluang pendidikan dan pekerjaan.

Mereka juga cenderung kepada aktiviti yang lebih buruk dan terdedah kepada individu yang mungkin memberikan lebih banyak pengaruh negatif.

Sementara itu pakar psikologi pendidikan dan pendidikan, Zainuddin Abu Bakar mengingatkan pengunaan denda, hukuman, buang sekolah dan penahanan kelas tidak membantu dalam jangka masa panjang malah banyak mendatangkan keburukan berbanding kebaikan.

“Individu yang tidak dapat ditangani secara ‘langsung’ dan ‘psikologikal’ sebenarnya memerlukan perhatian khusus untuk mengetahui punca sebenar mereka bertingkah laku sedemikian,” tulisnya dalam buku Psikologi Pendidikan.

“Kita perlu fahami tujuan sebenar mendenda atau meghukum pelajar sama ada untuk memuaskan hati kita, sekolah atau bertujuan untuk membantu pelajar kita belajar mematuhi disiplin - cuba mengubah tingkah laku mereka,” katanya.

Beliau juga menyuarakan kebimbangan apabila pelajar menganggap hukuman yang dikenakan ke atas mereka hanya kerana mereka tidak disukai.

Semalam, seorang pelajar bunuh diri kerana didakwa berasa sedih akibat dibuang sekolah.