Pelajar cedera dihempap dinding runtuh stabil

Bernama
Januari 20, 2024 02:45 MYT
Anggota bomba membantu mengeluarkan seorang pelajar yang terperangkap dalam runtuhan dinding konkrit di sebuah sekolah di Kampung Putera Jaya, Kuala Terengganu, pada Jumaat. - Gambar SINAR HARIAN
KUALA TERENGGANU: Pelajar perempuan tingkatan tiga sebuah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di daerah Setiu yang cedera selepas dihempap dinding konkrit semalam dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Jelani Sulong berkata, pelajar itu kini sedang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) selepas kedua-dua belah pahanya cedera akibat dihempap dinding konkrit yang tiba-tiba runtuh ketika mencuci pakaian di asrama berkenaan.
Beliau berkata perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana Kementerian Pendidikan (KPM) telah menyalurkan bantuan penyelenggaraan sebanyak RM200,000 kepada setiap SABK tahun lepas bagi memastikan infrastruktur sekolah berada dalam keadaan baik dan selamat.
"SABK adalah di bawah kelolaan kerajaan negeri, namun kita memandang serius perkara sebegini yang melibatkan keselamatan pelajar.
"Kita harap semua sekolah dapat meningkatkan aspek keselamatan bagi memastikan insiden sebegini tidak lagi berulang pada masa hadapan," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.22 pagi semalam, mangsa cedera di kedua-dua belah paha selepas dihempap runtuhan dinding konkrit.
Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Setiu mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas. - BERNAMA
#dihempap dinding #pelajar cedera #Sekolah Agama Bantuan Kerajaan #Hospital Sultanah Nur Zahirah