Pelajar cemerlang kini terlantar

Sinar Harian
Februari 12, 2024 05:45 MYT
Wan Murni merapikan Muhammad Amirul Nazmi ketika ditemui pemberita di Kampung Jaba, Bukit Apit, Ajil di Hulu Terengganu. - Foto Sinar Harian
HULU TERENGGANU: Seorang pelajar cemerlang terpaksa menangguhkan sementara pengajian selepas mengalami masalah saluran pembuluh darah ke otak pecah sejak 18 Disember tahun lalu.
Ibunya, Wan Murni Wan Ngah, 46, berkata, Muhammad Amirul Nazmi Sam, 20, yang merupakan pelajar di bawah Program Penajaan Pendidikan Petronas (PESP) kini terlantar di rumah keluarganya di Kampung Jaba, Bukit Apit, Ajil di sini.
Menurut ibu kepada tiga anak itu, anak keduanya memerlukan pemantauan rapi kerana tidak boleh bergerak seperti biasa dan tidak boleh menguruskan diri sepenuhnya.
"Kalau ikutkan Amirul akan sambung pengajian ke luar negara selepas habis belajar di sebuah universiti di Kuala Lumpur, tetapi perlu ditangguhkan dahulu mungkin dalam tempoh setahun sementara tunggu dia sembuh.
"Doktor beritahu dia ada harapan untuk sembuh, tetapi perlu melalui proses pemulihan yang memakan masa agak lama," kata ibu tunggal itu ketika ditemui Sinar Harian di sini, petang Ahad.
Wan Murni yang bekerja sebagai tukang cuci berkata, dia telah mendapatkan cuti panjang oleh pihak majikan untuk menjaga Muhammad Amirul Nazmi.
"Saya sudah tidak bekerja sejak dia mula-mula sakit pada 18 Disember tahun lalu. Saya akan ambil cuti empat bulan lagi dan akan sambung cuti lagi sekiranya dia masih belum pulih.
"Saya akan jaga dia sehingga dia kembali sihat. Syukurlah, dia ada tunjukkan perubahan positif. Ada beberapa bahagian badan yang sudah mula digerakkan.
"Kalau kita panggil dia dengar dan akan beri respons melalui pergerakan. Cuma belum boleh bercakap dan bahagian badan sebelah kanan masih belum dapat digerakkan," katanya.
Menurut Wan Murni, dia tidak putus asa berdoa supaya anaknya yang kini lumpuh sebelah kanan badan kembali sihat dan dapat meneruskan pengajian di universiti.
Katanya, Muhammad Amirul Nazmi dijadualkan menamatkan pengajian A-level di sebuah universiti swasta di Kuala Lumpur pada Mac dan akan menyambung pengajian dalam bidang Teknologi Maklumat (IT) di United Kingdom (UK) pada Jun depan.
"Setiap hari saya tidak putus-putus berdoa supaya kesihatan Amirul kembali pulih dan dia dapat kembali belajar seperti biasa bersama rakan-rakannya yang lain.
"Saya cuba ikhtiar buat solat hajat, doa untuk dia tak pernah lekang dari bibir saya. Kalau boleh saya memang nak sangat tengok dia pulih seperti sedia kala," katanya.
Wan Murni berkata, anaknya itu bergantung sepenuhnya kepada susu dan perlu dipakaikan lampin pakai buang.
"Musim cuti sekolah ni abangnya, Muhammad Abid Salihin, 23, dan adiknya, Muhammad Aqil Faqhrullah, 15, ada bersama saya jadi mereka boleh bantu serba sedikit untuk jaga Amirul.
"Bila adik-beradik dia ada saya rasa ringan sikit sebab ada yang bantu sama tengok-tengokkan dan beri susu," katanya yang menerima bantuan RM500 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Mengimbau kejadian menimpa anaknya, Wan Murni yang juga merupakan ibu tunggal memberitahu, anaknya ditemukan pengsan di ruang tamu rumah sewa oleh seorang tukang cuci.
"Sepatutnya hari yang sama dia bertolak pulang ke Terengganu untuk cuti semester namun dikejarkan ke Hospital Cyberjaya. Dia duduk ICU (unit rawatan rapi) selama 12 hari sebelum dipindahkan ke wad biasa.
"Selepas 16 hari dirawat di Hospital Cyberjaya dia dipindahkan dan terima rawatan selama seminggu di HSNZ (Hospital Sultanah Nur Zahirah), Kuala Terengganu," katanya.
Muhammad Amirul Nazmi yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Dungun sebelum ini memperoleh keputusan cemerlang 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2021 sekali gus melayakkannya menyambung pengajian dalam bidang IT di UK.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian
#pelajar terlantar #saluran pembuluh darah ke otak pecah #Muhammad Amirul Nazmi Sam