Pelajar dikompaun RM5,000 kerana langgar SOP PKP di Pulau Pinang

Dewi Nur Harasha Alias
Mei 27, 2021 21:11 MYT
AA Anbalagan berkata, semasa ditahan remaja berkenaan memberitahu tinggal di rumah kawan dan mahu pergi ke rumah kawan yang lain. - Foto BERNAMA
BAYAN LEPAS: Seorang pelajar sekolah menengah di Pulau Pinang dikompaun RM5,000 kerana didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan juga ingkar arahan kuarantin di rumah.
Remaja berusia 16 tahun yang sedang menjalani kuarantin COVID-19 (PUI) itu ditahan polis selepas menunggang motosikal di tempat awam di Jalan Permatang Damar Laut, Bayan Lepas jam 2.50 pagi Khamis.
Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintenden AA Anbalagan berkata, semasa ditahan remaja berkenaan memberitahu tinggal di rumah kawan dan mahu pergi ke rumah kawan yang lain.
Bagaimanapun pemeriksaan lanjut mendapati dia telah ingkar arahan Subseksyen 22(b) Akta 343 iaitu individu di bawah pesakit bawah siasatan (PUI) enggan menjalankan kuarantin.
''Remaja berkenaan didapati telah memotong gelang merah jambu yang dipakainya dan menyimpan gelang dalam beg sandangnya.
"Susulan kesalahan itu, kompaun sebanyak RM5,000 dikeluarkan kepada remaja terbabit," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Anbalagan berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kerana ingkar arahan pengasingan (kuarantin) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM
Terdahulu, beberapa keping gambar remaja berkenaan sedang diperiksa anggota polis tular di media sosial Facebook pada Khamis.
#pelajar sekolah #kompaun #PKP #kuarantin #COVID-19 #PUI #Gelang merah jambu