Terkini: Kes Kematian pelatih Palapes UTM – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Pelajar jatuh asrama di Sabak Bernam: Mangsa ditidurkan, alami kecederaan kepala dan otak

Asyraf Malik 26/08/2025 | 09:47 MYT
Mohd Azam memberikan perkembangan mengenai kes seorang pelajar sekolah jatuh asrama di Sabak Bernam dalam satu sidang media khas di Putrajaya, pada petang Selasa. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Pelajar Tingkatan Tiga yang dipecayai jatuh dari aras tiga asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam kini sedang ditidurkan selain menerima rawatan lanjut di Hospital Sungai Buloh, Selangor.

Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Mohd Azam Ahmad berkata mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan otak.

"Fokus utama pasukan perubatan yang mengendalikan mangsa ketika ini adalah untuk memantau kecederaan," ujar Azam dalam satu sidang media khas di sini, pada petang Selasa.

Mengimbas kronologi kejadian, Azam menjelaskan ambulans tiba di sekolah berkenaan pada pukul 3.20 pagi (Selasa) untuk mangsa dibawa ke Hospital Sabak Bernam sebelum dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh.

"Bapa mangsa turut hadir ke Hospital Sabak Bernam sebelum murid berkenaan dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh. Pada waktu sama, pengetua sekolah turut membuat laporan polis dan setelah mendapat laporan, pihak polis datang ke sekolah terbabit untuk melakukan prosedur siasatan.

Menurut Azam, Hospital Sungai Buloh juga telah diberikan taklimat perubatan kepada pegawai pendidikan terlibat.

Sementara itu, pengetua, guru penolong kanan hal ehwal murid dan semua warden sekolah terbabit akan ditempatkan sementara waktu di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), selepas Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengeluarkan arahan berkenaan di media sosial beliau pada Selasa.

"Pekeliling ini sudah saya sampaikan kepada Jabatan Pendidikan Selangor untuk tindakan segera diambil," kata Azam.

"Penempatan ini bertujuan mengelakkan warga pendidik terlibat daripada mengalami tekanan emosi susulan kejadian yang berlaku serta memudahkan siasatan dalaman dijalankan berhubung pematuhan garis panduan ditetapkan," tambahnya lagi.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan kes berkenaan akan dijalankan secara menyeluruh merangkumi aspek keselamatan pelajar, pengurusan asrama serta latar belakang sosial mangsa dan rakan-rakannya.

"Sebarang kesimpulan khususnya melibatkan buli masih terlalu awal pada peringkat ini," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.





#pelajar jatuh asrama #Kementerian Pendidikan Malaysia #Jabatan Pendidikan Selangor #Mohd Azam Ahmad