Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Pelajar kolej tular pandu lawan arus di Lebuhraya EDL

Sinar Harian 19/08/2025 | 07:10 MYT
Tangkap layar tular menunjukkan sebuah kereta dipandu melawan arus di Lebuhraya EDL. -Foto Sinar Harian
JOHOR BAHRU: Seorang pelajar sebuah kolej swasta bertindak memandu secara melawan di Lebuhraya EDL hala utara, semalam.


Ringkasan AI
  • Seorang pelajar kolej swasta memandu melawan arus di Lebuhraya EDL hala utara selepas tersalah masuk laluan berhampiran Bangunan Sultan Iskandar.
  • Tiada kemalangan berlaku dan ujian air kencing serta alkohol terhadap pemandu adalah negatif; kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
  • Polis menegaskan tindakan memandu secara melulu adalah serius dan akan dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi.


Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 pagi apabila remaja terbabit yang memandu kereta jenis Hyundai Elantra dipercayai tersalah masuk laluan selepas melalui kawasan Bangunan Sultan Iskandar.

“Apabila sampai di laluan motobas kawasan berkenaan, pemandu kereta telah melawan arus masuk ke Lebuhraya EDL hala utara.

“Dia kemudiannya meneruskan perjalanan sehingga sedar dirinya tersalah laluan selepas melihat banyak kenderaan membunyikan hon dan menyalakan lampu,” katanya dalam satu kenyataan pada Salasa.

Menurutnya, selepas hampir lima minit melawan arus, pemandu kereta berkenaan berpatah balik menghala ke arah Johor Bahru dan tiada kemalangan dilaporkan dalam kejadian itu.

“Hasil ujian saringan air kencing dan ujian alkohol terhadap remaja tersebut adalah negatif.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, memandu secara melulu dan berbahaya,” jelas kenyataan itu.

Jelas Raub, tindakan memandu secara melulu dan berbahaya merupakan satu kesalahan serius yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.

“Tindakan tegas dan tanpa kompromi akan terus diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang serta mengancam keselamatan awam,” katanya lagi.


Sebelum itu, tular video menunjukkan sebuah kereta berwarna putih melawan arus. -Sinar Harian






#pelajar kolej swasta #lawan arus #Lebuhraya EDL #tersalah masuk laluan #Bangunan Sultan Iskandar