MALAYSIA
Pelajar Kolej Vokasional Banting maut, motosikal terbabas
Siasatan awal polis mendapati mangsa yang sedang dari arah Telok Datok menghala ke Banting, berada di tengah-tengah antara lorong kanan dan kiri, sebelum hilang kawalan lalu terjatuh ke lorong kanan. - Gambar hiasan
SHAH ALAM: Seorang pelajar Kolej Vokasional Banting yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kanchong, Kuala Langat dekat sini, maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas di kilometer 32 Jalan Klang-Banting-Port Dickson, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Mohd Akmalrizal Radzi berkata dalam kejadian pada 5.10 petang, pelajar lelaki berusia 17 tahun tersebut mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan.
Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda 115Z dari arah Telok Datok menghala ke Banting, berada di tengah-tengah antara lorong kanan dan kiri sebelum hilang kawalan lalu terjatuh ke lorong kanan.
"Kemudian sebuah lori jenis Nissan tanpa muatan sedang bergerak di lorong kanan telah melanggar penunggang dan motosikal tersebut. Akibat pelanggaran itu mangsa dan motosikalnya terperosok di bawah lori serta digilis tayar belakang sebelah kanan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd Akmalrizal berkata siasatan lanjut mendapati mangsa mempunyai lesen memandu dan memakai topi keledar ketika kejadian.
Beliau berkata pemandu lori lelaki warga tempatan berusia 50-an yang tidak mengalami kecederaan dan waris mangsa serta saksi bebas telah hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Nor Baiti Mustafa di talian 014-5006072 bagi membantu siasatan," katanya.
-- BERNAMA
#Kolej Vokasional Banting
#pelajar Kolej Vokasional Banting
#pelajar maut
#penunggang motosikal maut