MALAYSIA

Pelajar lelaki didakwa membunuh rakan sekolah

Yasmin Natasha 22/10/2025 | 02:35 MYT
Bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat tikaman berulang di dada dan leher. - Foto fail/BERNAMA
PETALING JAYA: Seorang pelajar lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pelajar perempuan dari sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan di Bandar Utama, Petaling Jaya.


Ringkasan AI
  • Seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas tuduhan membunuh rakan sekolah perempuan dalam tandas sekolah pada 14 Oktober lalu.
  • Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dengan hukuman maksimum gantung sampai mati atau penjara sehingga 40 tahun dan sebatan jika tidak digantung.
  • Bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat tikaman berulang di dada dan leher; sebutan semula kes ditetapkan pada 21 November.


Tiada pengakuan direkodkan kerana kes tersebut berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, remaja berusia 14 tahun itu didakwa melakukan pembunuhan di bilik tandas perempuan sekolah berkenaan antara jam 9.20 pagi hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober lalu.

Kes dikemukakan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta tidak kurang daripada 12 sebatan jika tidak dikenakan hukuman gantung.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi, manakala tertuduh diwakili peguam Anwar Ezzad Zainal.

Mahkamah menetapkan 21 November sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pada 15 Oktober lalu, Mahkamah Majistret Petaling Jaya mengeluarkan perintah reman selama tujuh hari terhadap tertuduh bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian pada 14 Oktober, mangsa ditemukan meninggal dunia di dalam tandas sekolah selepas dipercayai ditikam berulang kali oleh pelajar lelaki terbabit.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, memaklumkan bahawa laporan awal bedah siasat yang dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) mendapati punca kematian adalah akibat tikaman berulang pada bahagian dada dan leher.





#remaja lelaki #tikam pelajar #bunuh #pelajar perempuan