[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Pelajar lelaki tular tumbuk guru tukar pengakuan tidak bersalah

Bernama 11/09/2025 | 11:00 MYT
Prosiding hari ini dijalankan secara tertutup berikutan remaja berkenaan merupakan pesalah bawah umur. - Gambar fail
KAJANG: Seorang pelajar lelaki berumur 14 tahun yang tular menumbuk gurunya, menukar pengakuan kepada tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap guru berkenaan, dua bulan lepas.

Pelajar tingkatan satu kelas peralihan itu membuat pengakuan terbabit selepas pertuduhan dibacakan semula terhadapnya dalam bahasa Tamil pada prosiding sebutan kes di hadapan Majistret Fatin Dayana Jalil.

Prosiding hari ini dijalankan secara tertutup berikutan remaja berkenaan merupakan pesalah bawah umur.

Remaja itu didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan terhadap guru lelaki berusia 29 tahun di sebuah sekolah menengah di sini pada 4.48 petang, 28 Julai lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Alia Safri manakala pelajar berkenaan diwakili peguam S. Priyalatha.

Semasa ditemui media di luar mahkamah, Priyalatha berkata beliau perlu meneliti terlebih dahulu dokumen berkaitan kes yang akan diserahkan oleh pihak pendakwaan sebelum memutuskan untuk mengemukakan representasi atau tidak.

"Pihak kami memohon supaya mahkamah beri lebih masa untuk prosiding seterusnya. Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 9 Okt ini untuk pihak pendakwaan menyerahkan dokumen berkaitan kes kepada mahkamah dan pihak pembelaan," kata peguam itu.

Sebelum ini, tular dalam media sosial memaparkan insiden seorang pelajar lelaki dipercayai menumbuk dan mengugut gurunya dalam kejadian di kawasan sebuah sekolah menengah di sini, pada 28 Julai.

-- BERNAMA



#pelajar sekolah #kes tumbuk guru #video tular #kes mahkamah