Kejadian seorang pelajar maut dipercayai dipukul sekumpulan 10 penghuni asrama berlaku di Asrama Akhlak (lelaki) Pokok Sena, Kedah dan bukannya terjadi di Pusat Pemulihan Akhlak Pokok Sena seperti yang dilaporkan akhbar tempatan.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu kenyataan di sini menjelaskan kedua-dua institusi berkenaan merupakan dua institusi berbeza yang ditadbir oleh dua agensi berlainan.

"Asrama Akhlak adalah di bawah pentadbiran Jabatan Kebajikan Masyarakat manakala Pusat Pemulihan Akhlak Pokok Sena di bawah tanggungjawab Jabatan Penjara Malaysia, KDN," kata kementerian itu hari ini.

Jumaat lalu, Mohamad Shukri Kassim, 17, disedari meninggal dunia oleh warden pusat itu apabila tidak bangun menunaikan solat Subuh.

Sebuah akhbar melaporkan bahawa mangsa dimasukkan ke pusat pemulihan itu sejak 11 Nov lalu kerana masih dalam tahanan reman bagi membantu siasatan kes pecah rumah di Langkawi, Kedah.

Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk dibedah siasat dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan kecederaan di kepala serta perut dipercayai akibat dipukul dengan objek tumpul.

Berikutan itu, polis menahan 10 penghuni lain berusia antara 14 hingga 17 tahun yang disyaki terbabit dengan kes berkenaan yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. -- Bernama