MALAYSIA

Pelajar maut motosikal langgar pembahagi jalan

Sinar Harian 05/07/2025 | 01:50 MYT
Seorang pelajar Tingkatan Empat maut selepas motosikal ditunggang terbabas melanggar pembahagi jalan di Persiaran Sukan, Seksyen 13 pada Jumaat. - Foto Sinar Harian
SHAH ALAM: Seorang pelajar Tingkatan Empat maut selepas motosikal ditunggang terbabas melanggar pembahagi jalan di Persiaran Sukan, Seksyen 13 di sini semalam.

Kejadian kira-kira jam 9.45 malam itu menyebabkan mangsa maut di lokasi kejadian, manakala rakannya yang juga pembonceng cedera.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, siasatan mendapati motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggang dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 9 berusia 16 tahun itu disyaki hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan.

Menurutnya, insiden itu menyebabkan penunggang dan pembonceng motosikal terbabit tercampak ke atas jalan.

"Akibat kemalangan tersebut penunggang mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan maut di tempat kejadian, manakala pembonceng yang mengalami kecederaan di leher dan luka di kaki telah dibawa ke Hospital Shah Alam untuk mendapatkan rawatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, mana-mana saksi bebas atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.

Jelasnya, maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Abdul Nasser Peping di talian 012-2863875. - Sinar Harian






#pelajar Tingkatan Empat maut #penunggang motosikal maut #motosikal terbabas #shah alam