BAGAN SERAI: Seorang pelajar perempuan tingkatan lima maut manakala rakannya cedera parah setelah motosikal yang dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah lagi motosikal di Jalan Kubu Gajah, Semanggol, di sini petang tadi.

Mangsa, Nurul Hafizatul Syuhada Zinun, 17, yang menunggang motosikal jenis SM Sport meninggal dunia di lokasi kejadian dan pembonceng, Nurul Fasya Qistina Abu Hassan,17, cedera parah di bahagian kepala dan dirawat di zon merah Hospital Taiping.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata dua lagi mangsa yang juga pelajar, masing-masing berusia 15 tahun menaiki motosikal jenis Demak Spark, hanya mengalami cedera ringan.

Tambah Mazuki, kejadian berlaku sekitar jam 2.05 petang yang membabitkan dua buah motosikal.

"Siasatan lanjut mendapati kedua-dua kenderaan datang dari arah sama iaitu dari Semanggol menuju ke Kubu Gajah.

"Apabila sampai di tempat kejadian, dipercayai mangsa telah mengubah haluan dari kiri ke kanan untuk memasuki simpang kanan.

"Tiba-tiba datang sebuah lagi motosikal dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa di bahagian tepi sebelah kanan menyebabkan kedua-dua kenderaan hilang kawalan lalu terbabas di atas jalan raya," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata akibat daripada perlanggaran tersebut mangsa, Nurul Hafizatul Syuhada mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan maut di lokasi kemalangan.

Manakala rakannya cedera parah dan dihantar ke Hospital Taiping menaiki ambulans dan dirawat di zon merah Hospital Taiping.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk tujuan bedah siasat dan punca kematian disebabkan 'Severe Traumatic Brain Injury Secondary to Motor Vehicle Accident'," katanya lagi.

Katanya, kemalangan disebabkan mangsa mengubah haluan dari kiri ke kanan tanpa memberi ruang.

Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.