Seorang pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Ugama Taqaddulmil Ilmi ditemukan lemas di sebuah tali air di Kampung Padang Lembek, di sini, petang semalam.

Ketika kejadian, mangsa Muhammad Nor Harris Ismail, 17 tahun, dikatakan mandi bersama seorang rakan. Rakannya bagaimanapun selamat.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner (ACP) Ismail Mat Sidek dalam kejadian sekitar jam 3 petang Khamis, mangsa dan rakannya dipercayai mandi di kawasan air berpusar di tali air berkenaan.

"Mangsa berjaya ditemukan oleh pasukan bomba dan dibawa naik ke tebing sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Ketereh dan disahkan sudah meninggal dunia," kata Ismail dalam satu kenyataan.

Polis mengesahkan insiden sebagai mati mengejut.