Pelajar sekolah diperdaya sindiket 'parcel scam'

Bernama
Julai 6, 2021 16:11 MYT
Lelaki berkenaan memperkenalkan diri sebagai 'John Hamid' dan mendakwa bekerja sebagai doktor di Amerika Syarikat.
SEREMBAN: Perkenalan dengan seorang lelaki di laman sosial Facebook sejak dua minggu lepas membawa padah, apabila seorang remaja perempuan berusia 16 tahun di Port Dickson kerugian RM2,000, selepas diperdaya melalui kiriman 'hadiah' daripada kenalan mayanya itu.
Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata, lelaki berkenaan memperkenalkan diri sebagai 'John Hamid' dan mendakwa bekerja sebagai doktor di Amerika Syarikat.
Menurutnya, selepas berkenalan selama dua minggu, lelaki itu menawarkan pemberian hadiah berupa barang kemas, beg tangan dan kasut, selain memberikan wang tunai bagi tujuan mangsa mencarikan rumah bagi pihak lelaki tersebut di Malaysia, kerana ingin menetap di negara ini.
"Mangsa yang juga pelajar sekolah menengah di Port Dickson itu, menerima panggilan daripada ejen kurier di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, yang memintanya memasukkan wang untuk urusan bungkusan hadiah.
"Mangsa yang menggunakan duit simpanan sendiri dan juga ibunya, telah memasukkan kesemua wang diminta ke dalam akaun bank tempatan untuk tujuan itu," katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.
Aidi Sham berkata, pelajar berkenaan sekali lagi diminta untuk memasukkan wang, namun mangsa yang menyedari dirinya ditipu telah membuat laporan polis pada Sabtu lepas dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu beliau berkata untuk rekod, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson, menerima empat laporan dengan jumlah kerugian RM28,100 melibatkan modus operandi yang sama pada tahun ini.
-- BERNAMA
#penipuan #sindiket #laman sosial #pelajar #Amerika Syarikat