NATIONAL
Pelajar sekolah ditahan sunting, jual gambar lucah guna AI

M Kumar (foto) berkata, kejadian itu terbongkar apabila seorang wanita berusia 18 tahun membuat laporan polis pada 3 April lalu, selepas mendapati gambar lucah yang disunting menggunakan wajahnya tular di media sosial. -Gambar fail/Bernama
JOHOR BAHRU: Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan selepas disyaki terlibat dalam kegiatan menyunting, mengedarkan dan menjual gambar lucah di media sosial.
Ringkasan AI
- Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan kerana menyunting, mengedarkan, dan menjual gambar lucah di media sosial.
- Suspek menggunakan aplikasi AI untuk menyunting gambar mangsa dan menjualnya dengan harga RM2.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, dengan hukuman penjara atau denda jika sabit kesalahan.
Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan selepas disyaki terlibat dalam kegiatan menyunting, mengedarkan dan menjual gambar lucah di media sosial.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, kejadian itu terbongkar apabila seorang wanita berusia 18 tahun membuat laporan polis pada 3 April lalu, selepas mendapati gambar lucah yang disunting menggunakan wajahnya tular di media sosial.
"Pengadu juga mendapati gambar tersebut turut cuba dijual kepada orang ramai secara dalam talian.
"Bertindak atas laporan yang diterima, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai berjaya menahan suspek di sekitar kawasan Kulai sekitar jam 5 petang pada Selasa," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, dalam serbuan tersebut pihaknya turut merampas telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk menyunting dan memuat naik gambar bogel mangsa ke media sosial untuk dijual.
Menurutnya, suspek yang masih bersekolah itu menggunakan aplikasi teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menyunting gambar mangsa yang diperoleh daripada akaun media sosial.
Ujar beliau, gambar yang disunting kemudian dijual kepada orang ramai dengan harga murah iaitu RM2.
Katanya, suspek kini direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama empat hari, bermula 9 hingga 12 April untuk siasatan lanjut.
"Sehingga kini, polis menerima lapan laporan dari mangsa lain melibatkan isu kes sama. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
"Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda, atau kedua-duanya di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan.
"Manakala, di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, suspek boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun, atau kedua-duanya," jelasnya. -Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami