KUALA LUMPUR: Pelajar Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Labu, Seremban, Negeri Sembilan, dinobatkan sebagai pemenang pertandingan penulisan esei 'The Queen's Commonwealth Essay Competition 2023', baru-baru ini.

Auni Batrisyia Mohd Azmani, 16, yang pertama kali menyertai pertandingan peringkat antarabangsa itu dianugerahkan Golden Awards bagi penulisan esei bertajuk 'The Valorous Age' dalam kategori senior (14-18 tahun) yang turut disertai pelajar dari negara Komanwel.

Ibu remaja itu Prof Dr Norsham Juliana Nordin berkata anaknya mengetahui mengenai pertandingan yang disertai pelajar dari pelbagai negara Komanwel itu daripada pihak sekolah dan amat teruja sehingga sanggup menghabiskan cuti Hari Raya Aidiladha Jun lepas untuk menyiapkan penulisannya.

"Saya dapat maklumat keputusan pertandingan pagi tadi (Khamis) menerusi e-mel daripada penganjur...kami sekeluarga amat tidak menyangka rezeki menyebelahi Auni dan saya amat gembira dengan pencapaian Auni.

"Anak saya duduk di asrama, ketika telefon Auni menangis kegembiraan dan saya sebagai ibu amat terharu dengan kejayaan dia," kata Pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai itu kepada Bernama.

Norsham Juliana berkata anak kedua daripada empat beradik itu dilihat mempunyai minat yang mendalam dalam bidang penulisan malah remaja itu pernah menulis beberapa cerita pendek.

Beliau berkata Auni Batrisyia berhasrat untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak penerbitan untuk menerbitkan hasil penulisannya yang akan membuka peluang kepada remaja itu sebagai generasi baharu industri penulisan kreatif negara.

Pertandingan tahunan anjuran The Royal Commonwealth Society (RCS) berpangkalan di London, England itu diperkenalkan sejak 1883. - BERNAMA