KUALA LIPIS: Tidak tahan menanggung kesakitan selama beberapa jam akibat cincin besi tersekat di jari manis, seorang pelajar perempuan berusia 14  tahun terpaksa meminta bantuan bomba bagi menanggalkan cincin berkenaan. 

Mangsa sebelum itu telah mencuba pelbagai cara untuk mengeluarkan cincin tersebut namun tetap tidak berjaya hingga menyebabkan jarinya mula membengkak dan kemerahan. 

Ketua Balai Bomba Lipis, Haslizan Ramli berkata, pelajar yang tinggal di asrama sebuah sekolah menengah  dekat sini telah dibawa oleh gurunya ke Balai Bomba Kuala Lipis untuk mendapatkan bantuan anggota bomba pada pukul 8.36 malam tadi. 

"Setelah memaklumkan kepada gurunya mengenai cincin besinya sukar ditanggal pada pukul 8 malam tadi, pelajar berkenaan dibawa ke balai bomba untuk meminta bantuan dari anggota yang bertugas.

"Melihat keadaan bengkak di jari manis tangan sebelah kanan mangsa menunjukkan keadaan baru berlaku kesan daripada cincin besi yang sukar ditanggalkan  berikutan saiz jari membesar," katanya di sini hari ini. 

 Jari manis tangan kanan pelajar perempuan  mula membengkak, manakala di sebelahnya sebentuk cincin besi yang berjaya ditanggalkan oleh anggota bomba di Balai Bomba Kuala Lipis,  malam tadi. - Foto Bomba Kuala Lipis

Haslizan berkata, anggota bomba berjaya mengeluarkan cincin dalam tempoh kira-kira 20 minit dengan menggunakan peralatan khas dan mangsa tidak mengalami apa-apa kecederaan. 

"Kerja menanggalkan cincin dengan peralatan khas dilakukan dengan berhati-hati supaya tidak mencederakan jari tangan mangsa berkenaan.

"Ibu bapa dan penjaga perlu memastikan anak masing-masing tidak menjadikan cincin besi bersaiz kecil dan keras sebagai alat aksesori di jari tangan ataupun sebagai satu permainan di anggota badan yang kemungkinan sukar ditanggalkan dalam tempoh yang panjang," katanya.