Skip to main content

Malaysia

Pelajar tahfiz terus laung azan, solat hajat, baca surah Yasin bantu cari dua remaja hilang

[TB]_Pelajar Tahfiz Pantai Tanjung Lompat_BERNAMA
Pelajar Madrasah Tahfiz Al-Quran Ar-Redha, Bandar Penawar, hari ini meneruskan ikhtiar dengan melaungkan azan dan menunaikan solat sunat Dhuha, solat hajat serta bacaan Surah Yaasin bagi membantu mencari dua lagi remaja yang masih hilang selepas dikhuatiri lemas di Pantai Tanjung Lompat, Kota Tinggi. - Gambar Bernama
Advertisement

KOTA TINGGI: Pelajar Madrasah Tahfiz Al-Quran Ar-Redha, Bandar Penawar, hari ini meneruskan ikhtiar dengan melaungkan azan dan menunaikan solat sunat Dhuha, solat hajat serta bacaan Surah Yaasin bagi membantu mencari dua lagi remaja yang masih hilang selepas dikhuatiri lemas di Pantai Tanjung Lompat, di sini.

Guru Pendidikan Islam, Mohd Azroy Azhar berkata, pihaknya mengambil inisiatif itu secara sukarela buat hari kedua berturut-turut selepas melihat pelbagai usaha dilakukan pihak berkuasa dengan kepakaran masing-masing, selain keluarga mangsa yang turut berikhtiar mencari mereka.

Beliau berkata, keluarga mangsa telah melalui fasa sabar, reda dan ikhlas, manakala pihaknya pula berusaha membantu menerusi doa dan solat bagi memohon agar dua mangsa yang masih hilang itu ditemukan secepat mungkin.

“Kami rasa terpanggil untuk memberikan wadah kepada anak-anak tahfiz ini berkhidmat kepada masyarakat. Kami nak menunjukkan kepada masyarakat bahawa setiap ujian yang kita lalui ini ada jalan penyelesaiannya. Allah SWT beritahu dalam al-Quran, lalui ujian ini dengan jalan sabar dan solat.

“Kita minta kepada Allah SWT agar dipertemukan kalau dapat hari Jumaat ini juga, sebab harapan keluarga begitu tinggi. Insya-Allah, jalan yang terbaik adalah dengan jalan al-Quran,” katanya ketika ditemui di Pantai Tanjung Lompat, di sini, hari ini.

Mengimbas penemuan satu daripada tiga mangsa yang hilang semalam, Mohd Azroy berkata, kejadian itu berlaku selepas pihaknya selesai melaungkan azan dan mengadakan doa selamat di lokasi berkenaan.

Beliau berkata, seorang kenalannya kemudian meminta pelajar berusia 18 tahun ke atas untuk ke tengah laut bagi melaungkan azan.

“Ketika kami laungkan azan yang pertama itu belum ada apa-apa, tetapi apabila kami tergerak hati untuk laungkan azan kali kedua, habis sahaja La ilaha illallah, terus timbul satu jenazah di depan mata kami sendiri.

“Alhamdulillah, pihak berkuasa yang terlibat segera menguruskan jasad yang dijumpai itu dan kami perlahan-lahan mengiringinya ke pesisir pantai,” katanya.

Mohd Azroy berkata, hari ini mereka tiba di lokasi kira-kira 8.45 pagi dan memulakan laungan azan pada 9 pagi, sebelum menunaikan solat sunat Duha dan solat hajat serta membaca surah Yasin.

Beliau berkata, pihaknya tidak dapat ke tengah laut hari ini berikutan pelajar mempunyai program lain, selain akan menjalani peperiksaan esok.

“Madrasah kami hanya kira-kira lima minit perjalanan dari sini. Jadi, Insya-Allah jika diperlukan, anak-anak ini bersedia membantu,” katanya yang turut disertai 20 pelajar tahfiz.

Setakat ini, dua mangsa tragedi itu ditemukan lemas iaitu Muhammad Thaqif Rayyan Rumainoor dan Alif Taqiuddin Kamal Hasrul, manakala dua lagi iaitu Muhammad Adib Hafiy Kamal dan Mohamad Haiman Fitri Supian masih hilang.

Dua yang lain, Mohamad Faqrul Isqandar Abdullah dan Muhammad Afiq Ruzaini Mazlan diselamatkan orang awam.

Pihak bomba memaklumkan menerima panggilan kecemasan pada 8.19 pagi, Rabu lepas berhubung kejadian itu, dengan kesemua enam mangsa berusia 16 tahun itu merupakan sebahagian daripada kumpulan 15 orang yang datang berkhemah di Pantai Tanjung Lompat, Bandar Penawar.

--BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement