ALOR GAJAH: Hajat seorang pelajar Tingkatan Tiga untuk menghantar dua adiknya ke sekolah tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Telok Gong, Pengkalan Balak, di sini, semalam.

Dalam kejadian lebih kurang jam 7.40 pagi, mangsa Mohamad Iqmal Daniel Iskandar,15, yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC membonceng adiknya, Ratu Nurisma Dayana Iskandar, 13, dan Mohamad Dhani Ilham Iskandar, 11, dalam perjalanan dari rumah mereka ke Sekolah Kebangsaan Sungai Tuang.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, siasatan awal mendapati setiba di lokasi kejadian, sebuah kereta Perodua Axia yang dipandu seorang warga emas lelaki dari arah Kuala Sungai menghala ke Masjid Tanah mahu membelok ke kiri untuk masuk simpang ke rumahnya.

Menurutnya, bagaimanapun motosikal mangsa dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang kanan kenderaan yang dipandu lelaki berusia 65 tahun itu.

"Akibat rempuhan itu mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala meninggal dunia di lokasi kejadian dan telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat.

"Manakala dua adik mangsa masing-masing mengalami kecederaan ringan termasuk kaki terseliuh dan luka di mulut telah dibawa ke hospital yang sama untuk menerima rawatan," katanya.

Jelasnya, pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah diminta hadir ke Balai Polis Trafik Alor Gajah untuk siasatan lanjut.

"Kenderaan terlibat telah ditahan di Balai Polis Trafik Alor Gajah untuk dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dan kes disiasat di Seksyen 41(1) APJ 1987," katanya lagi. - Sinar Harian