BENTONG: Seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun di salah sebuah sekolah menengah di sini mengadu dipukul pelajar senior ketika sedang tidur di asrama sekolahnya pada jam 2.00 pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superitenden Zaiham Mohd Kahar berkata, pada awalnya mangsa memaklumkan kepada bapanya dia mengalami sakit di bahagian perut dan kencing berdarah.

“Kemudian mangsa memaklumkan kejadian sebenar yang dia dipukul kepada bapanya pada jam 10 pagi ketika berada di rumah, semalam.

“Bapa mangsa membawa mangsa ke Hospital Bentong untuk mendapat rawatan dan pemeriksaan oleh pihak hospital mendapati mangsa dipercayai dipukul di bahagian badan dan kaki,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Zaiham berkata, mangsa telah membawa mangsa dibawa oleh bapanya ke Balai Polis Bentong untuk tindakan selanjutnya.

“Hasil siasatan pihak polis mendapati, mangsa dipukul oleh seorang pelajar senior lelaki berusia 17 tahun.

“Bertindak di atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong telah menghubungi pihak sekolah tersebut,” jelasnya.

Katanya, pihak polis masih menjalankan siasatan berhubung kes tersebut, dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

“Sekiranya pelajar senior didapati bersalah dia boleh dipenjara selama tempoh setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

“Orang ramai khususnya ibubapa atau penjaga agar sentiasa memantau anak-anak bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku,” katanya lagi.