MALAYSIA
Pelajar Tingkatan 5 bunuh ibu, abang di Melaka

Siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai akibat tekanan perasaan dan dendam dialami suspek kerana sering dipaksa belajar untuk mendapatkan keputusan cemerlang. -Gambar Astro AWANI
MELAKA TENGAH: Polis menahan seorang pelajar Tingkatan Lima selepas disyaki membunuh ibu dan abang sulungnya di kediaman mereka di Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai Melaka pagi tadi.
Ringkasan AI
- Seorang pelajar Tingkatan Lima ditahan selepas disyaki membunuh ibu dan abang sulungnya serta mencederakan adik bongsunya dalam kejadian di rumah mereka di Bukit Rambai, Melaka.
- Motif kejadian dipercayai berpunca daripada tekanan perasaan dan dendam kerana sering dipaksa belajar, dengan suspek dijangka menduduki peperiksaan SPM tahun ini.
- Polis menemui pisau lipat dalam beg sekolah suspek dan sedang menyiasat kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala suspek akan direman dan tidak berada di bawah pengaruh dadah atau alkohol.
“Mangsa wanita merupakan seorang guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan mempunyai tiga orang anak yang mana suspek merupakan anak keduanya.
“Anak sulungnya yang turut terbunuh dalam kejadian ini merupakan pelajar sebuah kolej di Melaka dan anak bongsunya yang cedera dan kini dirawat di Hospital Melaka,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) pada Khamis.
Mengulas lanjut katanya, siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai akibat tekanan perasaan dan dendam dialami suspek kerana sering dipaksa belajar untuk mendapatkan keputusan cemerlang.
“Mungkin ibunya seorang guru dan dia nak anaknya dapat keputusan yang terbaik kerana suspek ini akan mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini.
“Jadi dia mungkin selalu dimarahi supaya untuk belajar lebih tekun lagi dan jiran-jiran juga maklumkan sering dengar pergaduhan di rumah itu,” ujarnya.
Tambahnya, dalam kejadian itu, suspek dipercayai cuba menyerang ibunya yang berada di dalam bilik tidur rumah sebelum abang mangsa cuba menyelamatkan ibu mereka.
"Pergelutan itu menyebabkan kedua-dua mereka maut ditikam manakala suspek dikatakan telah mengarahkan adik bongsunya keluar daripada rumah, namun remaja itu enggan berbuat demikian sebelum dia turut ditikam.
“Mungkin dia tidak ada apa-apa masalah dengan adik dia... dan dia telah minta adik dia keluar rumah, tapi adiknya tak nak pergi... dan dia cuba bunuh adiknya itu.
“Adiknya kemudian sempat lari keluar dari rumah dalam keadaan berlumuran darah sebelum berjaya diselamatkan,” tambahnya.
Mengulas lanjut, Dzulkhairi berkata, suspek juga cuba menghapuskan barang bukti iaitu pakaian yang dipakai dengan membuangnya ke semak berhampiran.
Katanya, polis menemui pisau lipat yang dipercayai digunakan dalam beg sekolah suspek di garaj rumah.
Kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mangsa yang maut dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka.
Katanya, suspek setakat ini tidak berada di bawah pengaruh dadah dan alkohol dan akan dibawa ke Mahkamah Ayer Keroh esok untuk mendapatkan permohonan reman.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami