Pelajar tingkatan dua maut, motosikal ditunggang langgar lembu

Adie Sufian Zulkefli
Ogos 1, 2023 02:00 MYT
Mangsa dibawa ke Hospital Sik sebaik kemalangan untuk menerima rawatan, namun, meninggal dunia sekitar pukul 9.35 malam tadi. - Gambar ihsan PDRM
SIK: Seorang pelajar maut selepas motosikal yang ditunggang terlanggar seekor lembu yang melintas jalan di Jalan Kampung Kota Bukit, di sini, pada Isnin.
Mangsa, Mohd Hammem Abd Halim, 14, pelajar tingkatan dua sebuah sekolah di sini maut akibat mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata, kejadian itu berlaku jam 6.30 petang ketika mangsa menunggang motosikal dari arah Kampung Langgok menghala Kampung Kota Bukit.
"Sebaik sampai di tempat kejadian, seekor lembu secara tiba-tiba melintas jalan secara mengejut menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak lalu melanggar lembu terbabit.
"Pelanggaran itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan di kepala dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Sik pada 9.35 malam tadi," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, hari ini.
Abdull Razak berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#pelajar tingkatan dua #maut #kemalangan #langgar lembu