KOTA BHARU: Seorang pelajar Tingkatan Dua maut selepas terkena renjatan elektrik ketika cuba mengambil mata kail yang tersangkut pada wayar elektrik menggunakan galah besi di Kampung Langgar di sini pada Ahad.
Dalam kejadian jam 5.15 petang itu, mangsa, Mohamad Amiruddin Anwar Md Azam, 14, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Sementara itu, anak sepupunya, Eizzrayyan Riduan, 10, yang juga terkena renjatan sama sedang dirawat di HRPZ II.
Ibunya, Norhabibi Jaafar, 52, berkata sebelum kejadian Mohamad Amiruddin sempat mengikutnya mengambil adiknya di Sekolah Kebangsaan (SK) Langgar pada jam 4.30 petang.
"Kemudian apabila tiba di rumah, saya masuk ke bilik untuk solat Asar. Ketika itulah dia bersama adik bongsunya, Azamuddin Azwa, 10, dan anak sepupunya, Eizzrayyan keluar menaiki basikal.
"Memang hobi arwah serta anak sepupunya memancing setiap petang. Saya dimaklumkan oleh Azamuddin Azwa, ketika mereka mengayuh basikal abangnya terlihat mata kail tersangut di wayar elektrik," katanya ketika ditemui di rumahnya pada Isnin.
Menurut dia, Mohamad Amiruddin Anwar telah berpatah balik ke rumah yang hanya terletak 100 meter dari lokasi kejadian untuk mengambil galah besi yang digunakan untuk mengait buah.
Ujarnya, anak sulungnya itu dikatakan telah mengait mata kail tersebut dan terkena renjatan elektrik.
"Azamuddin Azwa melihat depan mata abangnya kaku sambil memegang galah tersebut. Kemudian Eizzrayyan yang berada berhampiran telah memegang Mohamad Amiruddin Anwar dan terkena renjatan yang sama.
"Mereka berdua kemudian tersemban jatuh ke dalam tali air. Melihat kejadian itu Azamuddin Azwa terus berlari meminta bantuan saudara mara kami serta datang memberitahu saya memaklumkan abangnya terkena renjatan elektrik," katanya.
Ibu tunggal kepada tiga orang anak itu memberitahu, setibanya di lokasi dia hanya mampu berdoa dan ketika itu sudah merasa yang hayat anak sulungnya sudah tidak lama.
Ujarnya, kebetulan ada seorang doktor yang tinggal berhampiran telah cuba membantu dengan melakukan pernafasan dari mulut ke mulut (CPR) sebelum dibawa ke HRPZ II.
"Melihat keadaannya ketika itu, saya sudah reda. Sehinggalah dia meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital.
"Arwah seorang yang pendiam dan dia sangat suka memancing. Dia selalu bawa pulang ikan yang berjaya dipancing namun disebabkan saya tidak makan ikan darat, semuanya diberikan kepada sanak saudara," katanya.
Beliau berkata jenazah Mohamad Amiruddin yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail telah dikebumikan jam 9.20 pagi di Tanah Perkuburan Islam Mukim Langgar di sini. -Sinar Harian