Pelajar tingkatan dua terlibat kegiatan pecah kedai

Adie Sufian Zulkefli
Disember 6, 2021 06:37 MYT
Menurut Superintendan Rodzi Abu Hassan, kumpulan itu dipercayai melakukan 10 kes jenayah pecah kedai di daerah Kubang Pasu sejak Ogos hingga November lalu. - Astro AWANI
KUBANG PASU: Remaja 14 tahun antara empat anggota kumpulan 'Geng Man Muncung' yang ditahan terbabit melakukan 10 siri kes pecah kedai di sekitar daerah Kubang Pasu sejak Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, kesemua mereka ditahan polis Khamis lalu selepas pihaknya menerima laporan berkaitan kes pecah kedai di Air Hitam pada awal pagi hari sama.
Beliau berkata, dalam kejadian itu, kumpulan berkenaan berjaya melarikan wang tunai berjumlah RM4,250, alat pencukur serta pemetik api.
Katanya, modus operandi yang dilakukan kumpulan itu adalah dengan menyewa kereta untuk melakukan kegiatan pecah kedai dan bergerak pada sekitar waktu tengah malam dan awal pagi.
Sasaran mereka adalah kedai runcit di kawasan kampung dan mereka akan mencuri wang tunai, barangan asas keperluan harian seperti minuman bercoklat, roti, alat pencukur serta pemetik api.
Modus operandi kumpulan ini iaitu memecah masuk kedai dengan mencabut fius elektrik di luar kedai tersebut tujuannya adalah untuk mengelak perbuatan mereka daripada dirakam oleh kamera litar bertutup (CCTV) dan kemudian mereka masuk melalui pintu ataupun tingkap yang telah diumpil.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, hari ini.
Rodzi berkata, mereka ditahan di dua lokasi berasingan iaitu di hadapan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar dan di Taman Pulasan, sekitar jam 8.45 malam hingga 10.30 malam.
Katanya, ketika tangkapan dilakukan, pihaknya turut merampas sepasang sarung tangan, lima buah telefon bimbit pelbagai jenama dan sebuah kereta Perodua Myvi kelabu yang dipercayai disewa untuk melakukan kegiatan itu.
Pemeriksaan di rumah salah seorang suspek juga menemui sebatang besi kuku kambing, satu pemotong besi dan pemutar skru yang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah pecah kedai.
Turut dirampas, sejumlah pemetik api dan pisau cukur yang dicuri.
Jelas Rodzi, hasil semakan pelajar tingkatan 2 salah sebuah sekolah di Kubang Pasu itu tidak memiliki rekod jenayah.
Manakala tiga daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah, pecah rumah dan curi kenderaan.
Rodzi berkata, siasatan juga mendapati, dalang utama geng itu yang berusia 33 tahun pernah terbabit dalam kegiatan pecah masuk sebuah syarikat kurier di Alor Setar, beberapa bulan lalu.
Katanya, kumpulan itu dipercayai melakukan 10 kes jenayah pecah kedai di daerah Kubang Pasu sejak Ogos hingga November lalu.
Kesemua suspek direman selama lima hari bermula semalam sehingga Khamis ini untuk membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
#pecah kedai #geng man muncung #PDRM #remaja