GSF: Kesemua 23 delegasi Malaysia disahkan telah ditahan oleh Israel – Ikuti Laporan Langsung
MALAYSIA

Pelajar Tingkatan Empat meninggal dunia ketika Kejohanan Ragbi SBP Kebangsaan - Polis

Bernama 04/10/2025 | 07:15 MYT
Menurut Abang Zainal, Muhammad Fauzan Mohd Sulaiman yang berasal dari Johor dilaporkan rebah secara tiba-tiba pada kira-kira 10.30 pagi, ketika hendak memasuki padang. - Gambar fail/Bernama
IPOH: Polis mengesahkan seorang pelajar lelaki Tingkatan Empat meninggal dunia ketika menyertai Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Peringkat Kebangsaan 2025 di sini, semalam.


Ringkasan AI
  • Pelajar Tingkatan Empat meninggal dunia ketika menyertai Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan SBP Kebangsaan di Ipoh selepas rebah secara tiba-tiba sebelum separuh masa kedua.
  • Bedah siasat sahkan punca kematian akibat pendarahan dalaman otot pinggul kanan (exsanguination from psoas muscle tear); kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut tanpa unsur jenayah.
  • KPM batalkan kejohanan ragbi susulan insiden, polis nasihat orang ramai tidak membuat spekulasi; takziah disampaikan kepada keluarga mangsa.


Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata mangsa, Muhammad Fauzan Mohd Sulaiman,16, berasal dari Johor dilaporkan rebah secara tiba-tiba pada kira-kira 10.30 pagi, ketika hendak memasuki padang bagi memulakan perlawanan separuh masa kedua dalam kejohanan itu.

"Hasil temu bual awal bersama guru pengiring mendapati mangsa tidak menunjukkan sebarang tanda sakit atau keletihan semasa bermain pada separuh masa pertama perlawanan tersebut.

"Pegawai perubatan yang bertugas di lokasi kejadian segera memberi rawatan awal selepas mendapati mangsa mengalami kekejangan otot dan disyaki terkena sawan. Bantuan pernafasan (CPR) turut diberikan selepas nadi mangsa dikesan lemah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa kemudian dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini untuk rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia pada 11.18 pagi.

"Hasil bedah siasat yang dijalankan oleh Jabatan Forensik HRPB mendapati punca kematian adalah akibat pendarahan dalaman otot pinggul kanan (exsanguination from psoas muscle tear). Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) dan tiada unsur jenayah dikesan dalam kejadian ini," katanya.

Beliau turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil keputusan membatalkan Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan SBP Peringkat Kebangsaan 2025, selepas kejadian seorang pelajar yang menyertainya meninggal dunia secara mengejut.

-- BERNAMA




#pelajar Tingkat Empat meninggal dunia #Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan #polis ipoh #Muhammad Fauzan Mohd Sulaiman #terkini