Pelajar tingkatan tiga maut ditikam: ADUN Bandar Utama sedia bantu keluarga mangsa

Jamaliah turut menyeru kepada semua pihak supaya mengelak daripada menyebarkan maklumat yang tidak tepat kerana ia hanya akan mengeruhkan keadaan dan menganggu siasatan polis. - Bernama
KUALA LUMPUR: Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Utama sedia menghulurkan bantuan kepada keluarga mangsa kes pelajar perempuan tingkatan tiga yang maut ditikam di sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya pada Selasa.
ADUN Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin ketika dihubungi Astro AWANI berkata, pihaknya juga sedia memberikan segala sokongan yang sewajarnya kepada mereka yang memerlukan dalam menghadapi situasi sukar ini.
“Saya amat sedih dengan kejadian tragis yang melibatkan pelajar sekolah di kawasan Bandar Utama. Pejabat saya juga sedang mendapatkan maklumat hasil daripada siasatan pihak berkuasa yang berkaitan dan bersedia memberikan bantuan dan sokongan yang diperlukan dalam situasi sukar ini.
“Kes ini adalah satu insiden yang amat menyayat hati dan tidak ada sesiapapun mahu ia berlaku. Salam takziah saya kepada keluarga mangsa, semoga diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi situasi yang berat ini,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.Beliau turut menyeru kepada semua pihak supaya mengelak daripada menyebarkan maklumat yang tidak tepat kerana ia hanya akan mengeruhkan keadaan dan menganggu siasatan polis.
“Kes ini masih dalam siasatan pihak polis, sebaiknya kita merujuk kepada kenyataan rasmi oleh pihak polis berdasarkan siasatan yang dijalankan. Saya mohon kepada semua pihak supaya memberi ruang kepada pihak polis dan pihak-pihak yang berkaitan untuk menjalankan siasatan dengan seadilnya,” ujarnya.
Rentetan itu, beliau berkata, langkah terbaik ketika ini adalah dengan memberikan sokongan moral kepada keluarga mangsa, termasuk kepada seluruh warga sekolah yang terkesan dengan insiden berkenaan.
Kejadian kira-kira jam 9.10 pagi tadi itu berlaku di kawasan tandas pelajar perempuan sebelum disedari guru yang mendengar bunyi jeritan dari lokasi insiden.
Polis yang dikejarkan ke lokasi telah menahan suspek iaitu seorang pelajar berusia 14 tahun.
Suspek telah ditahan dan akan direman pada Rabu di Mahkamah Petaling Jaya mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami