MALAYSIA

Pelajar UM maut jatuh dari bangunan kolej kediaman

Pia Ernadya 17/10/2025 | 09:50 MYT
UM turut menyeru semua pihak menghormati privasi keluarga mangsa serta tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung insiden tersebut. -Gambar fail/Flickr
KUALA LUMPUR: Seorang mahasiswa Universiti Malaya (UM) disahkan meninggal dunia selepas dilaporkan terjatuh dari salah satu bangunan kolej kediaman universiti itu, kira-kira jam 3.30 petang tadi.


Ringkasan AI
  • Seorang mahasiswa Universiti Malaya meninggal dunia selepas terjatuh dari bangunan kolej kediaman dan disahkan meninggal ketika menerima rawatan di PPUM.
  • UM menyalurkan bantuan kepada keluarga Allahyarham dan menyeru agar privasi mereka dihormati serta tiada spekulasi disebarkan.
  • Punca kejadian masih dalam siasatan dan universiti memberi jaminan akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa.


Dalam kenyataan rasmi, UM memaklumkan pelajar terbabit meninggal dunia ketika menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

“Seluruh warga UM menzahirkan rasa sedih dan simpati yang mendalam kepada keluarga Allahyarham.

"Pihak universiti, melalui Jabatan Hal Ehwal Pelajar, sedang menyalurkan bantuan serta memberikan sokongan sepenuhnya kepada keluarga Allahyarham bagi membantu mereka menghadapi saat sukar ini,” menurut kenyataan itu.

Punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa, dan universiti memberi jaminan akan memberikan kerjasama penuh bagi membantu siasatan.

UM turut menyeru semua pihak menghormati privasi keluarga mangsa serta tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung insiden tersebut.

“Universiti juga menyeru seluruh warga kampus agar bersama-sama mendoakan kesejahteraan roh Allahyarham dan ketabahan keluarganya,” tambahnya.






#UM #universiti malaya #jatuh bangunan #kolej kediaman #PPUM