MALAYSIA

Pelajar UniSZA maut kereta dirempuh

Bernama 05/01/2026 | 10:45 MYT
Kereta Perodua Viva dipandu mangsa remuk selepas dirempuh sebuah kenderaan lain ketika membelok di lampu isyarat JPJ, Kuala Terengganu. Gambar kecil: Syakirah Hanan. - Foto JBPM
KUALA TERENGGANU: Seorang pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) maut selepas kereta Perodua Viva dipandunya dirempuh kenderaan lain di lampu isyarat berhampiran pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), di sini tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata dalam kemalangan yang berlaku pada 1.55 tengah hari itu, Syakirah Hanan Mazli, 25, yang beralamat di Ayer Hitam, Johor meninggal dunia di lokasi kejadian.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila mangsa yang dari arah UniSZA menghala ke Bukit Kecil di sini, telah berhenti di lampu isyarat berdekatan JPJ, sebelum dirempuh kereta Honda Jazz yang datang dari arah bertentangan.

"Apabila lampu bertukar hijau, pemandu Perodua Viva bergerak membelok ke kanan, tiba-tiba datang kereta Honda Jazz dari arah bertentangan telah melanggar bahagian hadapan sebelah kiri Perodua Viva itu.

"Kemalangan tersebut telah menyebabkan pemandu Perodua Viva mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu Honda Jazz sedang mendapat rawatan di zon kuning Hospital Sultanah Nur Zahirah," katanya dalam kenyataan.

Katanya pemandu Honda Jazz berkenaan merupakan lelaki berusia 32 tahun yang mengalami patah tangan dan leher akibat kemalangan itu.

Sementara itu, Naib Canselor UniSZA Prof Datuk Dr Fadzli Adam dalam kenyataan berasingan memaklumkan Syakirah Hanan merupakan pelajar semester dua Diploma Pascasiswazah Pendidikan.

Beliau berkata pihak universiti menyumbang RM7,200 kepada keluarga mangsa bagi membantu melancarkan proses pengebumian dan urusan berkaitan.

Menurutnya seluruh warga UniSZA amat berdukacita dengan kehilangan tersebut dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Syakirah Hanan.

"Pegawai UniSZA telah bergegas ke hospital untuk membantu menguruskan apa yang perlu sebaik mendapat berita kemalangan tersebut. Sumbangan meliputi khairat kematian, insurans kematian takaful dan derma daripada pihak UniSZA sendiri," katanya.

-- BERNAMA






#pelajar UniSZA maut #kereta dirempuh #Syakirah Hanan Mazli #lampu isyarat #JPJ Kuala Terengganu