MALAYSIA

Pelajar UPSI ditemukan lemas selepas cuba selamatkan rakan

Bernama 11/01/2026 | 23:10 MYT
JBPM Selangor terima panggilan mengenai kejadian di kawasan air terjun Kedondong, Batang Kali, pada 4.46 petang dan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu dikerah ke lokasi. - Foto JBPM Selangor
KUALA LUMPUR: Seorang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ditemukan lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika cuba menyelamatkan rakannya di kawasan air terjun Kedondong, Batang Kali dekat sini petang semalam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.46 petang dan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu dikerahkan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata mangsa, seorang lelaki berusia lingkungan 20-an itu ke lokasi kejadian bersama lima rakannya.

"Saksi kejadian memaklumkan mangsa cuba menyelamatkan rakannya sebelum dibawa arus deras dan anggota berjaya menemukan mangsa 10 meter dari tempat kejadian dan disahkan meninggal dunia oleh pihak (pegawai perubatan) Kementerian Kesihatan," katanya dalam kenyataan semalam.

Ahmad Mukhlis berkata rakan mangsa berjaya diselamatkan dalam kejadian itu dan mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA



#pelajar UPSI lemas #kawasan air terjun Kedondong #batang kali #Kuala Kubu Bharu