[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
MALAYSIA

Pelajar UUM rakam penghargaan bantuan masyarakat Thailand

Bernama 27/11/2025 | 23:50 MYT
Semalam, sebanyak 36 pelajar dan dua pensyarah UUM yang terkandas banjir di Hat Yai, Thailand sejak 22 Nov lepas tiba di tanah air pada 6.20 petang. - Foto Facebook UUM
BUKIT KAYU HITAM: Seorang pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) merakamkan penghargaan kepada rakyat Thailand yang banyak menghulurkan bantuan ketika terkandas akibat banjir di Hat Yai.


Ringkasan AI
  • Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) menghargai bantuan rakyat Thailand ketika terkandas akibat banjir di Hat Yai, dengan menerima bantuan makanan, keperluan harian, dan caj telefon yang diberikan dengan sukarela.
  • Rakyat Thailand turut memasak bubur setiap hari untuk pelajar dan pensyarah UUM yang terperangkap di hotel penginapan, menunjukkan inisiatif dan kebaikan hati yang tinggi.
  • Penghargaan juga diberikan kepada pensyarah, Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, dan badan bukan kerajaan yang turut membantu menjaga kebajikan pelajar UUM dalam situasi yang tidak menentu di Thailand.


Abdul Hannan Abdul Halim, 22, berkata sepanjang tempoh terperangkap di hotel penginapan, banyak bantuan terutama makanan dan keperluan harian dihulurkan oleh warga negara itu kepada pelajar dan pensyarah universiti berkenaan.

"Pertama sekali kami takda elektrik bermula daripada tak silap saya 22 Nov, lebih kurang 5 atau 6 hari kami tiada elektrik dan kami memang susah mengecas telefon, bank kuasa dan iPad.

"... tapi orang Thailand, mereka cabut bateri kereta dan bawa naik tingkat atas untuk bantu kami caj telefon... masyarakat Thailand banyak bantu," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Beliau berkata rakyat Thailand juga mengambil inisiatif memasak bubur setiap hari untuk diagihkan kepada semua mangsa yang terkandas di hotel penginapan.

Aaisya Nor Akhbar, 22, pula berkata dia tidak akan melupakan jasa penduduk negara jiran itu dalam membantu pelajar dan pensyarah UUM yang terkandas.

"Tanpa bantuan mereka saya tidak pasti nasib kami ketika terkandas di sana," katanya.

Aaisya turut merakamkan penghargaan tinggi kepada pensyarah pengiring, Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla dan UUM yang banyak membantu menjaga kebajikan pelajar semasa dalam keadaan yang tidak menentu itu.

"Kami tahu ada banyak halangan yang menyebabkan bantuan kepada kami tidak dapat dilakukan, namun kami sangat menghargai usaha dan inisiatif termasuk daripada badan bukan kerajaan," katanya.

Semalam, sebanyak 36 pelajar dan dua pensyarah Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA), UUM yang terkandas banjir di Hat Yai, Thailand sejak 22 Nov lepas tiba di tanah air pada 6.20 petang.

Dua lagi pensyarah universiti itu dijangka dibawa pulang ke Malaysia malam tadi.

-- BERNAMA



#pelajar UUM terkandas #banjir #Hat Yai #bantuan masyarakat Thailand