MALAYSIA
Pelajar wanita disyaki dibunuh di Cyberjaya, tiada kesan kecederaan rogol
Norhizam berkata hasil siasatan awal menunjukkan punca kematian adalah akibat hentakan kuat di kepala. - Foto fail/Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Seorang pelajar wanita sebuah universiti tempatan ditemui mati dalam keadaan mencurigakan di kediamannya di Cyberjaya, pada Selasa lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 10.28 pagi, hari yang sama.
Menurut beliau, mangsa berusia 20 tahun dan ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Hasil pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang kesan pecah masuk di unit kediaman mangsa.
"Namun, terdapat kecederaan di bahagian kepala mangsa," katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.
Beliau berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Serdang untuk bedah siasat.
"Hasil siasatan awal menunjukkan punca kematian adalah akibat hentakan kuat di kepala (blunt force trauma to the head) dan tiada kecederaan yang menunjukkan unsur rogol.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," ujarnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP Mohd Husny Hussien di talian 012-9307860 atau hadir ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
Polis turut menyeru orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan.