KUALA LUMPUR: Seorang pelakon lelaki tempatan yang ditahan selepas dipercayai memukul pengawal keselamatan di sebuah kondomoniun di Sentul di sini, dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, lelaki berusia 30-an itu dibebaskan selepas polis melengkapkan siasatan selain tempoh tahanan remannya juga berakhir pada Isnin.

Menurutnya, kes siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan lanjut.

"Suspek dilepaskan dengan jaminan polis bermula hari ini sehingga 27 Jun ini sementara kita merujuk kertas siasatan kepada TPR untuk mendapatkan keputusan sama ada suspek akan dituduh atau sebaliknya," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Isnin.

Eng Lai berkata, siasatan ke atas pelakon itu dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 506 kanun sama kerana melakukan ugutan.

Seksyen 323 Kanun Keseksaan  memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-dua sekali.

Sementara mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, suspek boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan jika didapati bersalah.

Suspek sebelum ini ditahan reman tiga hari bermula Sabtu bagi membantu selepas disyaki menumbuk dan menendang mangsa di sebuah kondominium Segambut, di sini, malam Khamis lalu.

Mangsa bekerja sebagai pengawal keselamatan itu juga tinggal di kondominium yang sama.

Pelakon yang mendiami kondominium sama dilaporkan menumbuk dan menendang mangsa selepas rakan mangsa yang hendak menghantar minyak masak dilarang memasuki kawasan kondominium berkenaan oleh pengawal keselamatan di situ.

Kejadian dipercayai berlaku selepas pertengkaran mulut antara mangsa dengan pengawal keselamatan sebelum pelakon terbabit datang secara tiba-tiba dan mencederakan mangsa.

Suspek dipercayai yang pernah membolosi kelompok Top 5 bagi kategori Pelakon Filem Lelaki Popular dalam Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-34.