Seorang pelakon dan usahawan berpangkat Datuk dan dua lagi rakannya ditahan reman dua hari bagi membantu siasatan berkaitan penipuan jualan rumah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Datuk Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pelakon itu yang juga Pengarah Urusan syarikat perumahan dan dua lagi suspek utama iaitu pemilik sebuah lagi syarikat perumahan ditahan petang semalam.

“Pihak kami telah menerima 188 laporan polis berkaitan penipuan jualan rumah yang dilakukan oleh dua syarikat berkenaan melibatkan kerugian keseluruhan sehingga RM6.2 juta.

“Syarikat ini menawarkan rumah kepada pembeli dengan harga yang jauh lebih murah daripada pasaran iaitu sekitar RM60,000 untuk sebuah rumah banglo berkeluasan 1,650 kaki persegi.

“Bagaimanapun, setelah bayaran dilunaskan, pembinaan rumah tersebut tidak dijalankan,” katanya dalam kenyataan.

Hasil pemeriksaan polis di Wisma DBI turut merampas sebuah kereta Nissan Fairlady, BMW E92, tiga unit telefon bimbit, sjilij doktor falsafah daripada Samaritan Mission International University dan pelbagai dokumen syarikat DBI Properties.

Turut dirampas barangan daripada dua suspek utama iaitu dua unit telefon bimbit dan pelbagai dokumen dari kedua-dua syarikat tersebut.

Kesemua suspek kini direman dua hari bermula hari ini dan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Tambah Acryl, sindiket penipuan kini semakin bijak memanipulasi kehendak serta keperluan masyarakat untuk mewujudkan pelbagai skim bagi menarik perhatian mangsa.

Justeru orang ramai diingatkan agar menyemak dengan terperinci skim yang berbeza daripada kebiasaan yang ditawarkan bagi mengelakkan diri dari menjadi mangsa penipuan.