[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
MALAYSIA

Pelakon legenda, Dharmendra meninggal dunia pada usia 90 tahun

Umavathi Ramayah 24/11/2025 | 10:21 MYT
Dharmendra yang dilahirkan pada 1935 merupakan pelakon legenda yang disegani di arena perfileman Bollywood dan membintangi lebih 300 buah filem sepanjang 60 tahun penglibatannya sebagai anak seni. - Gambar Instagram
KUALA LUMPUR : Dunia perfileman India kehilangan sebutir bintang dengan pemergian pelakon legenda, Dharmendra pada usia 90 tahun, pada Isnin di kediamannya di Juhu, Mumbai, India.

Mendiang meninggal dunia hanya beberapa hari sebelum menyambut ulang tahun kelahirannya pada 8 Disember ini.

Punca kematian setakat ini masih belum diumumkan.

Berita pemergian beliau itu dikongsi pengarah terkenal, Karan Johor di Instagramnya.

"Maka berakhirlah satu era, seorang bintang mega yang agung, seorang hero dalam sinema arus perdana.

"Beliau akan terus menjadi legenda dalam sinema India, tapi yang paling penting adalah beliau seorang insan yang baik, disayangi semua. Saya bersyukur kerana pernah bekerja bersama beliau.

"Ruang itu boleh boleh diisi sesiapa, hanya ada satu Dharmendra, Om Shanti," katanya dengan memuat naik sekeping gambar hitam putih mendiang.

Dharmendra atau nama penuhnya, Dharmendra Singh Deol, sebelum ini dimasukkan ke Hospital Breach Candy, Mumbai pada awal bulan ini akibat komplikasi kesihatan.

Mendiang bagaimanapun, dibenarkan keluar dari hospital pada minggu lalu dan menerima rawatan di rumah.

Upacara terakhir mendiang dilaporkan akan diadakan di pusat krematorium Pawan Hans di Mumbai.

Memetik beberapa laporan portal tempatan, keadaan mendiang dilaporkan tenat apabila dilihat ada pergerakan ambulans di kediamannya pada Ahad. .

Sebelum ini tular berita palsu mengenai kematian bintang legenda itu pada 11 November lalu, namun dinafikan anak perempuannya, Esha Deol dalam satu hantaran di Instagramnya.


Dharmendra yang dilahirkan pada 1935 merupakan pelakon legenda yang disegani di arena perfileman Bollywood dan membintangi lebih 300 buah filem sepanjang 60 tahun penglibatannya sebagai anak seni.

Tiga anaknya turut mengikut jejak langkahnya sebagai pelakon iaitu Sunny, Bobby dan Esha Deol.

Hasil perkahwinan dengan Prakash Kaur dan pelakon Hema Malini, mendiang dikurniakan enam anak.

Darmendra berkahwin dengan Prakash Kaur pada 1954, ketika itu beliau berusia 19 tahun. Pasangan itu dikurniakan empat anak.

Kemudian mendiang berkahwin dengan Hema Malini pada 1980.

Dharmendra, digelar He-Man of Bollywood, bukan sekadar pelakon hebat, sebaliknya melakar nama sebagai ikon budaya pop India dengan karisma luar biasa yang menjadi simbol kejantanan elegan dalam industri perfileman Hindi.

Antara lakonan awalnya yang melonjakkan nama beliau ialah Phool Aur Patthar (1966) yang menjadikannya idola generasi baharu pada waktu itu.

Mendiang kemudiannya terus mempamerkan kepelbagaian bakat menerusi filem-filem seperti Aaye Din Bahar Ke sebagai hero romantik glamor, sebelum menjelmakan persona macho dalam filem seperti Dharam Veer dan Hukumat.

Namun, lakonan paling ikonik beliau kekal sebagai Veeru dalam filem klasik Sholay (1975), di mana karakternya yang bersahaja, humor spontan serta keserasian dengan rakan gandingannya, Amitabh Bachchan, menjadi ingatan kolektif masyarakat India hingga kini.

Menariknya, Dharmendra tetap kekal relevan pada usia lanjut. Kehadirannya dalam filem Rocky Aur Rani Kii Prem Kahaani pada 2023 mengundang reaksi sayu dan nostalgia peminat yang menyifatkan beliau sebagai legenda hidup pada waktu itu.

Filem terakhirnya, Ikkis, arahan Sriram Raghavan dan dibintangi Agastya Nanda serta Jaideep Ahlawat, bakal ditayangkan pada 25 Disember ini, menjadikan karya penutup warisan sinematiknya.




#pelakon Bollywood Dharmendra meninggal dunia #pelakon popular Bollywood #Amitabh Bachchan #Om Shanti Om