[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
NATIONAL

Pelakon tempatan, Sivakumar Jayabalan meninggal dunia

Umavathi Ramayah 25/04/2025 | 11:10 MYT
Sivakumar ditemukan maut bersama ibunya di sebuah kondominium di Taman Desa Petaling, Cheras, pada Jumaat. - Foto FB Sivakumar
KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi terkenal tempatan, Sivakumar Jayabalan ditemukan maut bersama ibunya di sebuah kondominium di Taman Desa Petaling, Cheras, di sini pada Jumaat.

Ringkasan AI
  • Pelakon dan penyanyi tempatan, Sivakumar Jayabalan, ditemukan maut bersama ibunya selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 11 sebuah kondominium di Desa Petaling, Cheras.
  • Polis masih menjalankan siasatan lanjut dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu.
  • Sivakumar dikenali melalui program nyanyian realiti Astro Paadal Thiran dan pernah menjadi pengacara di Astro Go Shop.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa yang berusia 48 dan 76 tahun itu dipercayai terjatuh dari tingkat 11 bangunan tersebut.
"Kejadian berlaku kira-kira pukul 12.35 tengah hari. Setakat ini, tiada sebarang unsur jenayah dikenal pasti namun siasatan masih dijalankan dari pelbagai sudut," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini pada Jumaat.
Aidil memberitahu, mayat dua beranak itu dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk proses bedah siasat.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil ke balai polis berhampiran dengan segera bagi membantu siasatan.
Sivakumar mula mencipta nama menerusi program nyanyian realiti Astro Paadal Thiran pada tahun 2006 dan kemudiannya turut aktif sebagai pengacara termasuk di platform beli-belah Astro Go Shop.
Mendiang pernah mendirikan rumah tangga namun perkahwinan itu tidak berkekalan. Hasil perkahwinan tersebut, mendiang dikurniakan seorang anak lelaki.
#bedah siasat #Polis Diraja Malaysia #tiada unsur jenayah #sivakumar jayabalan #terkini