PUTRAJAYA: Pelaksanaan e-Invois bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) akan bermula pada 1 Julai 2025 dan bukannya pada 1 Ogos ini, demikian menurut Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

LHDN dalam kenyataan hari ini menjelaskan pelaksanaan fasa pertama e-Invois pada 1 Ogos ini hanya terpakai kepada syarikat yang mempunyai pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM100 juta.

Menurutnya tiada keperluan pada masa ini untuk pihak syarikat dalam fasa pertama mendapatkan e-Invois daripada PMKS bagi tujuan tuntutan perbelanjaan.

"Sehubungan itu PMKS boleh meneruskan perniagaan seperti amalan biasa dan tidak perlu mengeluarkan e-Invois mulai 1 Ogos ini. Secara amnya pada peringkat awal pelaksanaan e-Invois tiada keperluan untuk mana-mana pembayar cukai mendapatkan e-Invois sebagai bukti bagi tujuan tuntutan perbelanjaan," menurut LHDN.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan kenyataan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang mempersoalkan sama ada PMKS perlu mengeluarkan e-Invois, bagi syarikat yang mempunyai pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM100 juta mulai 1 Ogos ini.

Bagi membantu dan memudahkan pengemukaan e-Invois ini, LHDN menyediakan Portal MyInvois serta Sistem Point of Sales (POS) yang boleh digunakan secara percuma oleh PMKS untuk semua transaksi termasuk sebarang pindaan.

"Pada peringkat awal pelaksanaan e-Invois kepada PMKS, PMKS tidak perlu mengeluarkan e-Invois bagi setiap transaksi jualan.

"... tetapi dibenarkan untuk mengeluarkan e-Invois yang disatukan iaitu e-Invois yang menggabungkan semua transaksi jualan PMKS setiap bulan dan hanya perlu dikemukakan kepada LHDN dalam tempoh tujuh hari pertama bulan berikutnya," menurut kenyataan itu.

Selain itu LHDN berkata PMKS juga hanya perlu mengisi enam daripada 55 medan data bagi melengkapkan e-Invois dan maklumat lain akan diisi secara automatik.

Dalam tempoh setahun sebelum pelaksanaan penuh e-Invois pada 1 Julai 2025, LHDN mengambil pendekatan secara aktif dalam menjalankan program dan sesi libat urus bagi tujuan kesedaran dan pendidikan di seluruh negara.

"LHDN akan turut menyediakan platform, tutorial bimbingan dan panduan pengguna bagi membantu PMKS menggunakan Portal MyInvois

"Pegawai LHDN di peringkat negeri juga akan turun padang dan mengadakan bengkel dan taklimat di seluruh negara bagi memberi bimbingan dan penjelasan berhubung pelaksanaan e-Invois kepada PMKS," menurut LHDN.

LHDN menegaskan bahawa kerahsiaan, privasi dan perlindungan data pembayar cukai adalah menjadi keutamaan pihaknya dalam semua urusan percukaian mahupun e-Invois.

Pelaksanaan e-Invois juga telah mengambil kira keperluan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dengan semua maklumat berkaitan SST telah dimasukkan sebagai medan data e-Invois.

"Berdasarkan penjelasan ini, pelaksanaan e-Invois sepatutnya tidak menyebabkan kenaikan harga barang dan peningkatan kos perniagaan PMKS," menurut kenyataan itu.

LHDN menegaskan kegagalan mengeluarkan e-Invois merupakan satu kesalahan di bawah Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967, dengan kadar penalti minimum yang boleh dikenakan adalah RM200 sehingga kadar maksimum RM20,000 dan pengenaan penalti adalah bergantung kepada setiap fakta kes.

"Bagaimanapun LHDN akan memberikan pertimbangan sewajarnya kepada PMKS apabila bermulanya pelaksanaan penuh e-Invois nanti," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA