[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
MALAYSIA

Pelaksanaan eKYC bagi akaun media sosial disasar dikuat kuasa suku kedua 2026 - Fahmi

Bernama 26/11/2025 | 09:48 MYT
Menurut Fahmi, MCMC telah diminta mengadakan sesi libat urus dengan semua platform media sosial dan memberikan tempoh munasabah untuk melaksanakan langkah itu. - Gambar fail/Bernama
KOTA MARUDU: Kerajaan menyasarkan setiap platform media sosial melaksanakan pengesahan identiti pengguna secara digital (eKYC) menjelang akhir suku kedua 2026, bagi menguatkuasakan had umur minimum 16 tahun untuk pembukaan akaun.


Ringkasan AI
  • Kerajaan sasarkan platform media sosial laksana pengesahan identiti pengguna secara digital menjelang akhir suku kedua 2026 untuk kuatkuasakan had umur minimum 16 tahun.
  • Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, minta MCMC adakan sesi libat urus dengan platform media sosial untuk langkah ini.
  • Pelaksanaan eKYC melibatkan penggunaan dokumen pengenalan diri dan bertujuan membanteras penipuan serta judi dalam talian.


Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah diminta mengadakan sesi libat urus dengan semua platform media sosial dan memberikan tempoh munasabah untuk melaksanakan langkah itu.

"Tempoh munasabah ini mengambil kira apa yang telah berjaya dilaksanakan di negara lain, termasuk Australia dan sekiranya platform boleh memanfaatkan mekanisme yang serupa ataupun hampir serupa, maka itu mungkin memudah ataupun mempercepat proses pelaksanaan," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas program Hari Bersama Komuniti di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Simpang Tiga Langkon di sini hari ini.

Fahmi berkata mekanisme itu antaranya melihat kepada cara pembekuan akaun untuk kes kanak-kanak yang masih berusia bawah 16 tahun serta pengaksesan semula kepada akaun setelah mereka cukup umur.

Selain itu, pelaksanaan eKYC juga akan melibatkan penggunaan dokumen pengenalan diri seperti pasport, MyKad dan MyDigital ID untuk tujuan pengesahan identiti pengguna media sosial.

"Hal ini penting kerana selain daripada memastikan kanak-kanak bawah usia 16 tahun tidak mengguna platform-platform media sosial, kita juga berhasrat untuk membanteras kegiatan scammer (penipuan) dan judi dalam talian.

"Banyak scammer dan judi dalam talian menggunakan akaun palsu. Jadi, kita berhasrat untuk mengenakan proses e-KYC ini, Electronic Know Your Customer untuk membuat pengesahan identiti," katanya.

Menyentuh berkenaan NADI, beliau berkata kerajaan bercadang untuk menambah sebuah lagi pusat berkenaan di Sabah dengan beberapa lokasi sesuai sedang dikenal pasti mengambil kira faktor lokasi, muka bentuk bumi serta populasi penduduk.

Fahmi berkata setakat ini terdapat 131 NADI di seluruh Sabah, iaitu jumlah kedua tertinggi di seluruh negara selepas Sarawak.

-- BERNAMA






#pengesahan identiti pengguna secara digital #eKYC #Fahmi Fadzil #platform media sosial